Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa Aman saran PAC pantau projek seluruh negara

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di seluruh negara disaran turun padang bagi melihat perkembangan projek yang dilaksanakan, sekali gus memastikan wang negara digunakan untuk tujuan ia
diluluskan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pihak berkepentingan sudah tentu lebih yakin sekiranya anggota PAC mengambil pendekatan sedemikian.

"Budaya turun padang dapat membantu kita memantau secara terus projek dan program kerajaan supaya ia benar-benar dilaksanakan, dan manfaatnya sampai kepada rakyat serta hasilnya dapat dicapai seperti dirancang.

"Dalam konteks ini, amat penting bagi PAC memastikan pelaksanaan program dan aktiviti melibatkan wang negara memberi pulangan terbaik, tiada pembaziran, ketirisan dan penyelewengan," katanya.

Musa berkata demikian ketika merasmikan seminar PAC SeMalaysia 2017 bertema 'Meningkatkan Kecemerlangan Urus Tadbir' di Kota Kinabalu, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang.  Turut hadir Pengerusi PAC Malaysia Datuk Seri Hasan Arifin dan Pengerusi PAC Sabah Datuk Hj Ahmad Hj Bujang.

Seminar sehari itu, yang dianjurkan PAC, Jabatan Audit Negara dan Dewan Undangan Negeri Sabah, dihadiri 420 peserta dengan matlamat memperkasa peranan PAC selain membudayakan dan mengukuhkan integriti serta akauntabiliti sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan.

Musa berkata PAC perlu meneliti dan menjadikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai rujukan untuk membaiki kelemahan dalam jabatan atau agensi kerajaan termasuk aspek kewangan dan aktiviti.

Beliau berharap semua kelemahan berulang yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan menjadi fokus utama kepada PAC supaya ia menjadi pengajaran dan pembelajaran untuk jabatan serta agensi kerajaan.

Menurutnya peranan PAC amat penting bagi membantu meningkatkan
kecemerlangan tadbir urus selain menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memastikan rakyat berpuas hati terhadap mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Hari ini, rakyat semakin peka dan mempunyai ekspektasi tinggi terhadap mutu penyampaian kerajaan. Justeru itu, amat penting untuk terus meningkatkan keyakinan rakyat dengan memastikan jentera pentadbiran efektif dan efisien," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS