Polis tahan peniaga, rampas dadah bernilai RM484,000
Polis Melaka menahan seorang peniaga disyaki pengedar dadah dan merampas dadah bernilai lebih RM484,000 dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Bukit Baru di Melaka, semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata lelaki yang dikenali 'Ah Tai' berusia 30 tahun berasal dari negeri ini ditahan pada 2.20 pagi di Jalan Melaka Raya, di Melaka, susulan tangkapan seorang penganggur dikenali 'Topoi K', Rabu lepas.
"Penahanan dilakukan hasil maklumat pengunjung pusat hiburan di sekitar Melaka Raya...rumah pangsa berkenaan disyaki dijadikan 'pusat' untuk menyimpan barang-barang salah ini.
Ujian saringan urin ke atas suspek didapati negatif dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.
Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata antara dadah yang dirampas termasuk 10 peket plastik lutsinar disyaki dadah syabu seberat 250 gram, 3,500 pil pelbagai warna disyaki ekstasi dianggarkan seberat 1,022 gram dan 7,500 pil disyaki dadah Eramin 5 dianggarkan seberat 2,100 gram.
Beliau berkata turut dirampas 48 botol plastik bertulis 'Ribena' anggaran isipadu 12 liter dan 44 botol plastik bertulis 'Ice Lemon Tea' anggaran isipadu 22 liter yang masing-masing berisi cecair disyaki mengandungi dadah ketamin.
"Polis juga merampas 200 batang rokok putih 'Dark Horse', tiga peket plastik lutsinar bertulis 'Glad Zip Slide' seberat 3,144 gram, 70 peket plastik warna kuning seberat 260 gram dan 61 peket plastik lutsinar seberat 171 gram yang masing-masing berisi bahan disyaki dadah ketamin.
Selain itu, seplastik warna biru yang berisi 170 peket warna ungu bergambar rama-rama dianggarkan seberat 1,870 gram disyaki dadah turut dirampas," katanya.
Katanya, polis juga menyita harta suspek bernilai RM307,900 termasuk dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Toyota Vellfire, jam tangan Rolex serta barang kemas bernilai RM37,900.
Beliau berkata suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dengan kes dadah itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Jan depan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kita percaya kedua-dua lelaki yang ditahan semalam dan Rabu lepas cuba untuk meluaskan rangkaian sindiket di bahagian selatan, justeru kita akan bekerjasama dengan polis Johor sehingga kegiatan rangkaian mereka berjaya dilumpuhkan," katanya. -Bernama

