Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO didenda RM5,000 sebabkan kuda sakit, sengsara
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 4:16 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan terhadap seekor kuda jantan miliknya.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas Datuk Norhisam Mohamed @ Mohamed Nor, 43, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan terhadap kuda bernama Lentini berusia 23 tahun baka Dutch Warmblood.

Mahkamah turut memerintahkan Norhisam dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Norhisam yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan itu di kandang kuda Blok E, dalam kawasan Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Jalan Bukit Kiara Off Jalan Damansara di sini pada 12.40 tengah hari 24 Mei 2016.

Norhisam didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia tidak melakukan pengabaian dan dia tidak tahu kudanya itu sakit.

Lelaki itu juga memberitahu dia telah diisytihar bankrap.

Berdasarkan fakta kes Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima aduan awam berhubung pengabaian seekor kuda di kandang kuda kawasan Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.

Pegawai veterinar kemudian mengambil kuda itu yang mengalami kecederaan pada kaki kiri belakang.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Hasiah Musa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS