Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Kenyataan profesor Harvard hina graduan tempatan
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 3:55 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan seorang profesor dari universiti terkemuka dunia yang menyamakan tahap graduan negara ini dengan pelajar sekolah menengah di sebuah negara Eropah, sebagai satu penghinaan.

Katanya kenyataan itu juga 'tidak cerdik' kerana dibuat tanpa kajian mendalam mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang dibuat berasaskan sistem di negara maju.

"Universiti-universiti kita ada pencapaian, ada kisah kejayaan yang boleh dibanggakan. Takkanlah penghargaan diberi badan antarabangsa terhadap graduan kita itu tidak sesuai di negara kita.

"Jika individu itu buat kenyataan setelah mengeluarkan kajian mendalam, melalui proses pensampelan yang boleh dipercayai, mungkin kita boleh terima, tapi ini tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Klinik Penyayang Percuma bersama Persatuan Gerak Medikal Alor Setar di Padang Terap hari ini.

Mahdzir mengulas kenyataan Prof Lant Pritchett dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat yang dilapor berkata kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark semasa menghadiri forum Dasar Awam Asia 2017 di Subang Jaya, dua hari lepas.

Pritchett dilapor berkata kajian terhadap graduan Indonesia dalam beberapa aspek termasuk pemikiran kreatif mendapati hasilnya hampir sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah di Denmark, dan ciri-ciri sama juga didapati di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata beliau pelik bagaimana seorang pensyarah di universiti terkemuka dunia boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Malaysia banyak menghasilkan pakar dalam pelbagai bidang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS