Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KiniTV dan pengarahnya gagal gugur pertuduhan

Portal berita video, KiniTV dan pengarahnya gagal untuk mengugurkan pertuduhan menghantar komunikasi jelik menerusi video oleh bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mengkritik Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ketika ditemui pemberita, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan KiniTV dan pengarahnya, Steven Gan Diong Keng, 55, pada 18 Januari lepas.

Oleh itu, katanya, Hakim Mahkamah Sesyen Zaman Mohd Noor menetapkan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, KiniTV didakwa atas dua pertuduhan telah secara sedar memulakan penghantaran satu komunikasi yang bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain berupa paparan video dalam dua versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Dua video berkenaan adalah dengan tajuk "Khairuddin: Apandi Ali not fit to be AG, he should quit immediately" dan Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan.

Kedua-dua video berkenaan dipaparkan di pautan http://www.kinitv.com/video/3670308 dan http://www.kinitv.com/video/36708074 pada pukul 1.14 petang dan 1.34 petang, 27 Julai 2016 dan telah dilihat di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, pada pukul 10 pagi, 2 Ogos 2016.

Gan yang ketika itu merupakan pengarah di KiniTV turut didakwa atas dua pertuduhan sama.

Dia yang turut mewakili KiniTV mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan tersebut.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS