Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Beberapa jalan di tiga daerah di T'ganu ditutup
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 11:02 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Susulan banjir di Terengganu menyebabkan beberapa jalan di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu terpaksa ditutup setelah dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left Kolonel Che Adam A Rahman berkata di Besut, Jalan Seberang Jerteh/Pachakan di dua lokasi iaitu di Kampung Beris Baru dan Kampung Nangka-Kampung Lampu ditutup kepada kenderaan ringan. 

"Begitu juga Jalan Bulatan Che Salmah/Kampung Raja dan Jalan Jabi/Kampung Oh/Pasir Akar ditutup kepada kenderaan ringan.

"Jalan Kuala Terengganu/Kota Bharu di Kampung Tok Dor dan Kampung Lak Lok juga ditutup kepada kenderaan ringan manakala Jalan Jertih/Pasir Akar/Keruak di Kampung Jerubun ditutup kepada semua jenis kenderaan," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dari Kuala Terengganu yang ingin ke Kota Bharu disarankan menggunakan laluan pantai untuk destinasi kedua-dua arah.

Di Setiu tiga jalan yang dinaiki air ialah Jalan Caluk/Bukit Putera, Jalan Pengkalan Merbau/Pelong dan Jalan Permaisuri/Hulu Seladang yang kesemuanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Hulu Terengganu, Jalan Bukit Perah/Kampung Jak/Kuala Kejir ditutup untuk kenderaan ringan manakala Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Di Kota Bharu, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 3,232 orang melibatkan 866 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 527 mangsa daripada 207 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, sebanyak 35 pusat pemindahan dibuka di tujuh jajahan melibatkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Machang.

Di jajahan Kota Bharu, 1,345 mangsa daripada 341 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir manakala 688 mangsa daripada 185 keluarga dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di Pasir Mas.

Jajahan Tumpat pula merekodkan 72 mangsa daripada 19 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan, manakala Bachok melibatkan 295 mangsa daripada 86 keluarga, juga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.

Seramai 99 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di jajahan Tanah Merah, manakala Pasir Puteh merekodkan 632 mangsa daripada 180 keluarga di enam pusat pemindahan serta 101 mangsa daripada 28 keluarga berada di sebuah pusat pemindahan di Machang.

Sementara itu, menurut portal Kerajaan Negeri Kelantan di http://ebanjir.kelantan.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada 9.95 meter pada pukul 8 pagi ini berbanding paras amaran 9 meter.

Sungai-sungai yang lain masih berada pada tahap normal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS