Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UniKL iktiraf UEC bagi syarat kemasukan
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa hari ini menjelaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.

Beliau berkata walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Justeru, Annuar menggalakkan lepasan UEC untuk memohon pelbagai jurusan yang ditawarkan oleh UniKL termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

"Semua lepasan UEC ini merupakan pelajar yang berkualiti dan kita harap penjelasan ini akan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran di UniKL.

Daripada pergi ke Taiwan dan negara lain, ambil peluang belajar di sini kerana kita ingin lihat kepelbagaian latar belakang," katanya.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

KPT sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta dan bukan universiti awam kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS