Penceroboh dan pihak yang memusnahkan alam sekitar termasuk melakukan pencerobohan tanah secara haram boleh didenda sehingga maksimum RM1 juta bagi setelah Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selama ini kerajaan menggunapakai undang-undang sedia ada yang tidak memberi kesan besar kepada pesalah.

Katanya peruntukan denda tersebut sekali gus mengekang penerokaan haram di atas tanah kerajaan dan memusnahkan hutan secara berleluasa seperti yang terjadi di Cameron Highlands.

"Kalau kita lihat tanah Cameron Highlands dulu teruk "dihentam" oleh pihak peneroka haram sebab undang-undang kita undang-undang lapuk. Kita berasa seperti tangan kena ikat dari belakang.

"Apabila undang-undang ini mula dilaksanakan, hukumannya adalah jauh lebih tinggi dan kita boleh mengambil tindakan lebih tegas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian kluster kecemerlangan ukur dan pemetaan Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) sempena lawatan kerja rasminya ke institut tersebut di Behrang di Tanjung Malim semalam.

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, pindaan akta itu juga meluaskan lagi skop pembiayaan dan cagaran berteraskan syariah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan.

"Dengan pindaan ini, institusi-institusi kewangan boleh memperkenalkan produk kewangan baharu tanpa perlu pindaan ke atas Kanun Tanah Negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata satu lagi pembaharuan ialah pindaan yang membolehkan cukai tanah di sesebuah negeri dibayar di negeri lain.

- Bernama