Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akui impian mahu jadi TPM, kata setiausaha Najib kepada DAP
Diterbitkan:  Jan 25, 2017 12:39 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mencabar pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk menjelaskan sama ada beliau menaruh impian untuk menjadi timbalan perdana menteri.

Ini kerana katanya, DAP jelas adalah pemimpin pakatan dan rakyat perlu tahu sekiranya Lim akan memegang jawatan penting itu jika pembangkang yang diterajui DAP menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Lim perlu jujur mengenai cita-citanya mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana rakyat berhak mengetahui siapa yang bakal menjadi pemimpin mereka jika Pakatan Harapan menerajui kerajaan persekutuan.

"Beliau perlu menjelaskan sama ada menaruh harapan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, seperti yang didedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Mahathir berkata beliau sebenarnya bermaksud bahawa "MCA" yang meminta jawatan TPM pada tahun 2009, dan tersilap berkata “DAP” yang mahukan jawatan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha MCA Datuk Loke Yuen Yow pada Isnin lalu berkata beliau pada tahun 2009 mencadangkan jawatan TPM II diisi oleh MCA, tetapi menegaskan cadangan itu dibuat atas kapasiti peribadinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata MCA tidak pernah meminta jawatan TPM.

Penjelasan Loke tidak meredakan perbalahan polemik itu dengan Tengku Sariffuddin berkata DAP perlu menjelaskan ini kerana parti itu mempunyai bilangan terbesar kerusi Parlimen di kalangan pembangkang.

"Kita tidak boleh nafikan bahawa DAP memiliki paling banyak kerusi Parlimen dalam pakatan pembangkang sekarang dan pada hakikatnya, berada berada dalam kedudukan pimpinan dominan dalam kalangan parti pembangkang," katanya.

Beliau juga menyoal sama ada atas alasan ini, Lim cuba berbaik dengan PAS kerana beliau memerlukan parti itu menyokong cita-citanya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Jika ini tidak benar, maka Lim harus membuat Akuan Bersumpah, seperti mana disyorkan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (bekas Naib Pengerusi DAP), bagi menyatakan secara sahih bahawa beliau akan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika pakatan yang diterajui DAP menang PRU akan datang.

"Rakyat berhak mengetahui kebenaran mengenai cita-cita politik Kit Siang yang tidak terbatas itu supaya mereka boleh membuat pilihan selepas mengetahui semua maklumat yang perlu sebelum mengundi nanti," katanya.

Lim sebelum ini dibidas kerana menghulurkan salam perdamaian untuk berunding dengan PAS bagi membentuk pakatan pembangkang yang lebih kukuh dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas bidasan itu, Lim berkata, beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan BN untuk kepentingan Malaysia.

Lihat Komen
ADS