Terjemahan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling teruk melanggar hak pelarian, demikian menurut laporan edisi 2005 Kajian Pelarian Dunia yang dikeluarkan semalam oleh Jawatankuasa Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI).

Menurut laporan setebal 126 halaman itu bagi menilai kira-kira 40 negara berhubung layanan mereka terhadap orang pelarian Malaysia, Tanzania dan Iran mendapat gred 'F'.

Gred tersebut diberi berdasarkan kepada penilaian prestasi kerajaan di negara-negara terbabit dalam empat bidang:

  • Keadilan prosidur pemberian suaka dan perlindungan pelarian daripada dihantar pulang;
  • Sama ada pelarian ditahan dan, jika ia, apakah keadaan dan layanan terhadap mereka;
  • Sama ada dan setakat mana para pelarian memperolehi mata pencarian, dan diberi perlindungan di bawah undang-undang buruh dan sosial di negara terbabit; dan
  • Sama ada pelarian diberi kebebasan bergerak di dalam dan di luar negara berkenaan.

Negara yang didapat menyekat dan melanggar hak paling ramai pelarian dalam keempat-empat bidang berkenaan, akan diberi gred yang paling teruk. Amerika, Iraq dan Chad diberi gred A.

Tidak tandatangani konvensyen

Malaysia, yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, mempunyai kira-kira 50,000 pelarian 20,000 penduduk Aceh, 10,000 Rohingya dan bakinya rakyat Nepal dan sukukaum Chin dari Burma.

"Kerajaan telah menghantar pelarian Aceh pulang ke Indonesia manakala pelarian Islam Rohingya dan Chin pula dihantar ke Thailand, di mana mereka kemudiannya dihantar pulang ke negara asal masing-masing, Myanmar (Burma)," kata laporan tersebut.

Manakala pelarian lain terpaksa pulang kerana tidak tahan dengan keadaan buruk di kem-kem tahanan imigresen, tambahnya.

Menurutnya lagi, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah meninjau pusat tahanan imigresen di Semenyih yang turut menempatkan golongan pencari suaka.

Suruhanjaya itu mendapati penghuninya mengalami luka-luka baru dan oleh itu, membuat kesimpulan bahawa ianya berlaku akibatkan layanan buruk dan tidak berperi kemanusiaan di kem tersebut.

"Kem-kem tahanan imigresen menempatkan terlalu ramai tahanan dan mereka tidak diberi makanan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi, keadaan kebersihan yang teruk serta layanan kasar pengawalnya, menyebabkan berlaku kematian berapa orang tahanan," tambah laporan itu.

Mendapat gred yang teruk

USCRI juga memberi gred 'gagal' bagi amalan penghantaran pulang pendatang dan pemberian suaka di Malaysia, Malaysia, China, Iran, Lebanon, Pakistan, Russia, Afrika Selatan, Thailand dan Amerika.

Gred terbaik diberikan kepada Algeria, Cote d'Ivoire, Ethiopia, Liberia dan Venezuela.

Mengenai proses penahanan pula, gred F juga diberikan kepada Malaysia, Bangladesh, China, Iran, Lebanon, Pakistan, Russia, Serbia, Afrika Selatan, Thailand dan Yemen.

Dan sekali lagi gred terbaik diberi kepada Algeria dan Liberia, di samping Burundi dan Sierra Leone.

Mengenai hak untuk mendapat mata pencarian, Malaysia, Algeria, Iran, Lebanon, Russia dan Tanzania juga memperolehi gred 'gagal'.

Manakala Chad, Congo, Ecuador, Iraq, Israel and wilayah didudukinya, and Amerika disenaraikan di tempat teratas.

Dan mengenai kebebasan bergerak dan tempat tinggal, Malaysia, Algeria, Bangladesh, Ethiopia, Israel dan kawasan didudukinya, Kenya, Russia, Tanzania, dan Thailand juga mendapat gred 'gagal'.

Ecuador, Kesatuan Eropah, Sierra Leone, Syria, Amerika dan Venezuela mendapat gred 'A'.

Dinafikan hak asasi

Menurut laporan USCRI itu lagi, tujuh daripada setiap 10 pelarian di dunia yang dianggarkan berjumlah 11.5 juta orang, 'disimpan' selama lima tahun atau lebih di negara-negara yang telah menafikan hak asasi mereka sepertimana yang dijamin di bawah Konvensyen Pelarian 1951.

Akibatnya, ramai daripada pelarian berkenaan tidak dapat bekerja, bergerak secara bebas dalam negara-neara terbabit, memilik hartabenda atau menerima pendidikan.

Laporan tersebut menanda satu fasa baru dalam kempen setahun USCRI mengenai nasib pelarian yang hidup dalam keadaan terbiar.

Menurut Presiden USCRI, Lavinia Limon, berjuta-juta orang pelarian ini adalah kanak-kanak yang sedang membesar dalam keadaan terbiar. USCRI sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa AS mengenai Pelarian.

Jumlah pelarian teramai

Palestin merupakan negara yang mempunyai pelarian paling ramai sejumlah tiga juta orang. Kira-kira 1.635 juta rakyat Palestin tinggal di wilayah diduduki Israel di Tebing Barat dan Gaza, manakala 701,000 lagi tinggal Syria, dan 265,000 lagi di Lebanon.

Kedua-dua negara berkenaan juga mempunyai nisbah orang pelarian yang tertinggi berbanding dengan rakyat mereka sendiri satu dalam setiap 18 orang yang tinggal di Lebanon adalah pelarian dan satu bagi setiap 26 orang di Syria.

Di Gaza, Lebanon, dan Tebing Barat, menurut laporan itu, menjadi 'stor simpanan' pelarian Palestin, yang telah wujud sejak 56 tahun lalu.

Kini terdapat 1.65 juta pelarian yang tinggal di kawasan berkenaan. Di Mesir, Jordan, dan Arab Saudi, rakyat Palestin menjadi pelarian di sana sejak 37 tahun lalu. Kini terdapat kira 454,000 pelarian Palestin yang tinggal di tiga negara berkenaan.

Pelarian Afghanistan pula merupakan kumpulan kedua tersebut, seramai hampir dua juta orang, yang kini tinggal di Iran dan Pakistan sejak 25 tahun lalu.

Pelarian Angola di Zambia dan Namibia; Eritrean di Sudan; Sahrawis di Algeria, pelarian Filipina di Malaysia dan pelarian Iraq di Iran; Palestin di Kuwait; pelarian Sri Lanka di India, dan pelarian Burma di Thailand; semuanya turut dinafikan hak mereka di bawah Konvensyen tersebut, sejak lebih 20 tahun yang lalu.

- IPS