Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar menegaskan adalah penting untuk negara mempunyai pemimpin yang bersih dan bebas daripada rasuah.

Sambil mengakui, pemilihan itu bukan mudah, Akhbar berkata rakyat perlu mengundi ahli politik dianggap ‘kurang mengamalkan rasuah’.

"Untuk masyarakat adalah lebih baik kita pilih pemimpin yang tidak rasuah, pastikan dalam pilihan raya akan datang ini kita berpakat semua jangan pilih anggota politik yang rasuah.

“Tapi nampak gayanya tak ada ahli politik yang tak rasuah kita pilihlah yang paling kurang (amalkan) rasuah. Apa pilihan kita ada?” soal Ahktar selepas membentangkan laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016, di Kuala Lumpur hari ini.

Aktar berkata demikian ketika mengulas soalan hadirin bagaimana rasuah boleh ditangani susulan ada pemimpin negara berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 dunia terus terjerumus daripada tangga ke-55 berbanding 54 pada 2015. Negara jauh ketinggalan di belakang Singapura, yang meningkat satu tangga ke kedudukan nombor 7 pada 2016.

Akhbar berkata penurunan Malaysia itu berikutan kekurangan kesungguhan pemimpin politik dalam menangani rasuah dengan hanya memberi janji kosong tetapi tidak memperjuangkannya.

Bagaimanapun, menurut Akhbar, tugas membasmi rasuah bukan sahaja seharusnya diserahkan kepada pemimpin kerajaan tetapi perlu dipikul bersama oleh pembangkang.

"Ini bukan saja untuk parti pemerintah tetapi pemimpin pembangkang juga, yang memerintah negeri mereka pun dua kali lima juga rasuah.

"Jadi, yang paling penting ahli politik ini mereka buat undang-undang dan laksanakan undang-undang bagaiman mungkin mereka juga memusnahkannya, betul?

"Kamu mesti tunjuk contoh teladan yang baik barulah orang akan ikut kamu, itu kiraan mudah," kata Akhbar

Beliau juga menggesa badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara supaya mengekalkan integriti dalam urus tadbir serta tidak mengamalkan siasatan dan pendakwaan terpilih.

"Jika ada kes dan mereka enggan mengenakan hukuman maka mereka hanya perlu menunggu hari penghakiman," kata Akhbar sambil tersenyum.