Banjir di Pahang bertambah buruk
Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 5,912 orang daripada 1,536 keluarga pagi ini berbanding 5,207 orang daripada 1,355 keluarga malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Nnegeri Pahang, Zainal Yusoff berkata jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah kepada 93 buah berbanding 85 sebelum ini.
"Kuantan mencatatkan jumlah pemindahan paling ramai dengan 1,354 orang daripada 344 keluarga diikuti Maran (1,079 orang daripada 284 keluarga), Jerantut ( 821 orang daripada 197 keluarga).
"Rompin (632 orang daripada 169 keluarga), Pekan (608 orang daripada 141 keluarga), Raub (456 orang daripada 143 keluarga), Temerloh (90 orang daripada 23 keluarga) Bera (3 orang satu keluarga).
Sementara itu, Lipis merekodkan jumlah PPS paling banyak dibuka iaitu 23 buah diikuti Raub (17), Jerantut (16), Maran (12), Kuantan (9), Temerloh (7) masing-masing empat di Rompin dan Pekan dan satu di Bera.
Sementara itu di Kota Bharu, jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 361 orang setakat 8 pagi ini berbanding 243 orang malam tadi.
Mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan adalah dari jajahan Gua Musang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi inforbanjir, sebanyak 150 orang daripada 34 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Gua Musang, diikuti 81 orang (24 keluarga) di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh.
Di Jajahan Kuala Krai, 77 orang (20 keluarga) ditempatkan di empat pusat pemindahan, 47 orang (15 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Jeli manakala di Tanah Merah, enam orang (1 keluarga) berada di sebuah pusat pemindahan.
Sementara itu, menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai kini pada paras 27.74 meter berbanding 25.35 meter malam tadi, melepasi paras bahaya 25.00 meter.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini turun kepada 9.11 meter berbanding 9.18 meter malam tadi, masih melapasi paras bahaya 9.00 meter.
Manakala di Miri, sebanyak 14 buah sekolah rendah di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri ditutup hari ini akibat banjir.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari Angkatan Pertahanan Awam, Mejar Ismail Mahedin berkata ia melibatkan 1,232 orang murid.
Sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai, SK Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang, SK Kuala Binyo, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Long Luyang, SK Ulu Segan, SK Sg Anak, SK St Dunstan, SK St Swithun, SK
Long Jegan dan SK Long Teran Kanan.
Sementara itu tiada pusat pemindahan yang dibuka atau penduduk yang dipindahkan, katanya.
Di Kota Kinabalu, mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di Pitas dan Paitan menurun kepada 228 orang daripada 86 keluarga setakat jam 8 pagi ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata di Paitan, 45 mangsa daripada 10 keluarga masih berada Dewan Kampung Binsulung.
Di daerah Pitas, 61 mangsa daripada 28 keluarga masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Pekan 2 dan 122 mangsa daripada 48 keluarga di Dewan Komuniti Kampung Indah.
Di Shah Alam, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah Sabak Bernam meningkat sedikit kepada 364 orang daripada 105 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 352 orang malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata jumlah mangsa di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar meningkat kepada 161 orang daripada 46 keluarga berbanding 151 mangsa daripada 42 keluarga.
"Sementara jumlah mangsa di Dewan Parit Baru, Sungai Air Tawar, menunjukkan sedikit peningkatan daripada 169 orang kepada 171 orang daripada 51 keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau bagaimanapun berkata jumlah mangsa yang ditempatkan di Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar kekal 32 orang daripada lapan keluarga.
Menurut jurucakap itu, cuaca kadang-kala hujan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut menyediakan empat buah pam untuk kerja-kerja pengepaman air banjir ke laut.
"Beberapa kawasan terjejas seperti di kawasan Kampung Parit 5, Parit Baru dan Sungai Tengar dinaiki air kira-kira 0.30 meter sehingga memasuki rumah dan menyebabkan penduduk tidak dapat keluar ke laut," katanya.
- Bernama

