Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Projek infrastruktur berimpak tinggi bukan untuk kemegahan
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 3:31 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Projek-projek kesalinghubungan dan infrastruktur berimpak besar yang dalam pelaksanaan bukanlah untuk kemegahan tetapi membantu merangsang ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Merujuk kepada projek seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang di Johor, Malaysia Vision Valley, Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange dan projek rel - Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)- Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata projek-projek terbabit juga bukan bersifat mewah.

"Projek-projek ini bukan bersifat kemegahan, bukan bersifat mewah tetapi membantu ke arah merangsang ekonomi negara," katanya di perhimpunan khas Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Najib berkata projek-projek berkenaan berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang menjana pendapatan tinggi dan memberi peluang kontrak peringkat kedua kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk kontraktor kelas F.

"Ini mengakibatkan 'connectivity' (kesalinghubungan) lebih baik dan membawa kepada peningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)," katanya.

Beliau memberi contoh projek ECRL yang apabila siap kelak dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ketiga-tiga negeri di Pantai Timur dengan peningkatan sebanyak 1.5 peratus.

Najib memetik dapatan satu kajian bahawa jika sesebuah negara dapat menyediakan sistem jalan yang lebih baik dan efisien, ia dapat meningkatkan KDNK negara sebanyak dua peratus.

"Ini adalah komitmen kerajaan kepada pembangunan infrastruktur awam, merangsangkan ekonomi tempatan dan memberi peningkatan ketara dalam kehidupan rakyat.

"Kita menyediakan satu sistem pengangkutan yang 'affordable' (berpatutan) dan sistem MRT disambut baik. Bulan Julai nanti, projek MRT sepanjang 51 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang akan siap. Projek ini merupakan satu 'game changer' (pembawa perubahan) untuk negara," katanya.

Justeru, Perdana Menteri menekankan kesemua projek tersebut perlu dilaksanakan dengan cekap dan pantas, berpegang kepada prinsip yang ia berimpak tinggi keapda rakyat, kos minimum, pelaksanaan yang tangkas dan mampan.

"Prinsip ini seharusnya dijadikan asas dalam menentukan projek dilaksanakan atau sebaliknya," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS