Polis telah menahan seorang lelaki dipercayai pemilik akaun Facebook yang memaparkan ugutan untuk menyembur cat aerosol kepada wanita Hindu yang 'berpakaian tidak sopan' ketika perayaan Thaipusam bulan depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan di Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada jam 9.20 malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan ugutan jenayah.

"Ketika tangkapan, polis turut merampas peralatan komputer milik lelaki terbabit yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Sekali lagi saya tegaskan polis memandang serius ugutan seperti ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Ugutan tersebut dibuat di Facebook kumpulan yang menggelarkan diri mereka “Thaipusam Spraying Group”.

Kumpulan itu turut memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan bahagian belakang wanita memakai pelbagai jenis sari dengan ugutan 'mereka akan disembur jika berpakaian tidak sesuai'.