Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menganggap kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bertemu dengan pemimpin atasan BN, termasuk beliau dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, 'seperti tidak ikhlas'.

Menurut Mah, ini kerana anggota parlimen Gelang Patah itu tidak memberi sebarang jemputan atau surat rasmi untuk mengadakan pertemuan, sebaliknya hanya menyatakan keinginan tersebut melalui media.

"Hari ini Tahun Baru Cina saya tak nak marah orang. Tapi jika nak jumpa, mana ada orang yang buat sidang media dan beri masa antara masa ini hingga masa ini, mahu jumpa Liow, mahu jumpa Mah.

"Semua (dibuat) melalui sidang media. Itu (seperti) tak ikhlaslah.

"Bagi saya ini semua hanyalah permainan (game) dia. Bercakap kepada media untuk apa?," kata Mah.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri majlis rumah terbuka Gerakan sempena Tahun Baru Cina di ibu negara hari ini.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kira-kira 3,000 orang turut memeriahkan majlis rumah terbuka Gerakan itu yang diadakan di Menara PGRM.

Selain itu, ditanya sekiranya menerima sebarang surat jemputan daripada Lim, Mah berkata beliau hanya mengetahui tentang 'jemputan' untuk mengadakan pertemuan berkenaan melalui surat khabar.

"Tak ada (surat jemputan). Saya baca di surat khabar, baru saya tahu," katanya lagi.

Selasa lalu, Lim menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pemimpin atasan BN selepas beliau menimbulkan polemik bahawa bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lim dilaporkan berkata, beliau bersedia untuk bertemu dengan pemimpin kanan MCA, Gerakan, termasuk Najib untuk membincangkan cara untuk "membersihkan dan menyingkirkan” segala keaiban dan kehinaan Malaysia akibat dilihat sebagai negara kleptokrasi.

"Saya bersedia untuk bekerja bukan sahaja dengan Hadi, tetapi juga dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan semua pemimpin BN Sabah dan Sarawak," Lim dilaporkan berkata.

Laporan itu juga memetik Lim berkata, beliau bersedia untuk berjumpa dengan Liow dan Mah di sebarang tempat, bila-bila masa dalam tempoh 72 jam.