Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerosakan sekolah di tiga negeri dianggar RM10 juta

Nilai kerosakan harta benda sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu dan Sabah yang dilanda banjir gelombang
pertama pada Disember lepas, dianggarkan mencecah RM10 juta.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau belum mendapat laporan lengkap mengenai nilai kerosakan sekolah semasa gelombang kedua banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak dan Sabah awal bulan ini.

"Bagi gelombang kedua banjir, kita menjangka jumlah nilai kerosakan mungkin lebih tinggi berbanding gelombang pertama. Kita akan ambil tindakan serta merta untuk membaiki kesemua sekolah yang terjejas.

"Bagaimanapun, kita tak sempat lagi membaiki kerosakan sekolah akibat gelombang pertama banjir walaupun kita sudah menghantar waran peruntukan ke sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun
Felda Lubuk Merbau di Padang Terap, hari ini.

Banjir itu turut menyebabkan berpuluh-puluh sekolah ditutup hingga menjejaskan lebih 15,000 pelajar di Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Padang Terap mencadangkan supaya tanah kuarters guru Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi tujuan pembangunan rumah
generasi kedua Felda Lubuk Merbau.

"Ia dibina untuk penempatan guru pada 1970-an namun, dengan
kemajuan infrastruktur yang semakin moden, ramai guru tinggal di luar dan sekarang kuarters itu hanya diduduki oleh satu atau dua penghuni sahaja," katanya. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS