Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
10 negara ASEAN jadi keutamaan M'sia, kata menteri
Diterbitkan:  Jan 29, 2017 1:20 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Malaysia akan meningkatkan perdagangan dengan negara ASEAN dan Asia selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 23 Jan lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara anggota ASEAN akan menjadi tumpuan utama perdagangan Malaysia, diikuti dengan China, Korea Selatan, Jepun serta India.

"Sepuluh negara ASEAN merupakan menjadi keutamaan kita. China dan negara-negara Timur Laut Asia seperti Jepun, Korea Selatan serta India juga penting.

"Setakat ini, China masih menjadi rakan dagangan kita yang terbesar. Ini bukan perkara baharu kerana kita selalu menjalinkan kerjasama dengan China," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan serta melawat masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Merican, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini bertindak menandatangani Arahan Eksekutif penarikan diri AS daripada TPPA pada Isnin (23 Jan) lepas, dengan alasan TPPA boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS serta pengaliran keluar dana ke negara-negara lain TPPA.

TPPA yang dimeterai Malaysia dan 11 negara anggota lainnya pada 4 Feb, 2016, tidak boleh dilaksanakan tanpa penyertaan AS yang mewakili kira-kira 60 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada 12 negara anggota berkenaan.

Di bawah perjanjian itu, sebanyak minimum enam negara yang menyumbang 85 peratus daripada gabungan KDNK 12 negara berkenaan, perlu melakukan proses ratifikasi atau pengesahan sebelum dokumen itu dapat dikuat kuasakan.

TPPA dianggotai 12 negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Kanada, New Zealand, Jepun, Malaysia, Singapura, Mexico, Peru, AS dan Vietnam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS