Kira-kira 900 pegawai Jabatan Negara Amerika menandatangani memorandum dalaman membantah larangan perjalanan oleh Presiden Donald Trump terhadap pelarian dan rakyat tujuh negara Islam, kata satu sumber yang mengetahui tentang dokumen itu semalam, dalam satu bantahan terhadap dasar presiden baru itu.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara mengesahkan memorandum itu telah diserahkan kepada pemangku Setiausaha Negara Tom Shannon melalui "saluran perbezaan pendapat," jabatan itu, yang merupakan satu proses di mana para pegawai boleh meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan.

Isnin lalu, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer berkata beliau menyedari tentang memorandum itu tetapi memberi amaran kepada para diplomat sama ada mereka "menerima program itu atau berhenti."

Draf memorandum itu yang dilihat oleh Reuters berhujah bahawa perintah eksekutif akan mengeruhkan hubungan dengan negara-negara yang terjejas, membakar sentimen anti-Amerika dan menjejaskan mereka yang mahu ke Amerika atas sebab-sebab kemanusiaan.

Menurutnya, dasar itu "bertentangan dengan nilai-nilai teras Amerika mengenai non-diskriminasi, kesaksamaan dan mengalu-alukan kedatangan pelawat asing dan pendatang".

Trump pada hari Jumaat menandatangani perintah eksekutif tentang larangan sementara terhadap pelarian dan rakyat tujuh negara Islam, sehingga mencetuskan suasana kelam-kabut di lapangan terbang AS dan mengakibatkan protes di bandar utama Amerika.

Larangan itu membabitkan Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

[Baca berita penuh]

- Reuters