PKR senaraikan 3 tindakan segera buat MARA
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyenaraikan tiga tindakan segera yang perlu dijalankan ke atas Majlis Amanah Rakyat (Mara) susulan penggantungan Tan Sri Annuar Musa selaku pengerusi agensi itu dan Pelaburan Mara Berhad (PMB).
Beliau yang juga naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR berkata, yang pertama ialah kepimpinan MARA perlu diisi di kalangan mereka yang pakar dan bertanggungjawab dalam pensturukturan semulanya.
"Kelemahan Felda yang melantik ahli politik dalam menguruskan organisasi merupakan pengajaran terbaik dalam usaha membaik pulih MARA yang kian merudum akibat tangan-tangan hitam ahli politik.
"Menteri perlu menyatakan rancangan penstukturan dan pendidikan MARA di sidang Dewan Rakyat pada bulan Mac. Menteri juga perlu menjawab segala pertanyaan ke atas skandal ini selaras Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Malahan, menteri perlu bertanggungjawab atas skandal penyelewengan ini dan meletakkan jawatan atas kecuaiannya menjalankan tugas," katanya dalam kenyataan.
Semalam, Annuar digantung tugas sebagai pengerusi agensi berteraskan Bumiputera itu dan PMB berkuat kuasa serta-merta dalam satu mesyuarat yang diputuskan pada hari yang sama.
Ahli Majlis Mara, Datuk Dr. Yusof Yaacob dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan berhubung isu penajaan membabitkan pasukan bola sepak Kelantan.
“Kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi ini. Oleh itu, segala siasatan akan dibuat,” kata Yusof.
Mengulas lanjut, kata Nurul Izzah, tindakan kedua ialah memansuhkan konsep bayaran untuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi memberi akses pendidikan sekolah menengah kepada pelajar bumiputera cemerlang.
"Ketiga, segala pelaburan dan transaksi yang dibuat oleh PMB oleh Annuar perlu dikaji semula supaya pelaburan tersebut telus dan tidak mengambil kepentingan individu," jelas beliau lagi.
Pada masa yang sama, beliau berpesan bahawa semua pihak tidak boleh melakukan kesilapan berulang kali dalam menguruskan dana rakyat seperti MARA, katanya.
"Tidak mungkin MARA dapat dipertahankan oleh sosok yang terpaut dengan skandal dan penyelewangan berbillion ringgit. Tiba masa rakyat Malaysia khususnya Bumiputera menolak kepimpinan lemah kerajaan BN yang melenyapkan institusi seperti MARA," katanya.

