Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Hadi tak ada rumah mewah, kolam renang'
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 9:00 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Dalam kenyataan jelas ditujukan kepada pemimpin utama DAP, seorang pemimpin PAS berkata, rumah Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bernilai jutaan ringgit, selain tiada kemudahan "kolam renang" semasa menjadi menteri besar Terengganu.

Sebaliknya, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah, presiden mereka hanya memiliki dua rumah kayu di kampung untuk isteri-isterinya, dan kedua-dua mereka memiliki "kolam renang semula jadi" yang sangat besar, iaitu iaitu Laut China Selatan.

Menganggap keadaan itu sebagai langka (rare) Mohd Nor berkata Abdul Hadi langsung tidak terpalit dengan sebarang isu rasuah atau jenayah, sama ada secara peribadi atau keluarganya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kini berdepan dua tuduhan rasuah berkaitan pembelian rumah di Green Lane, George Town, dan beliau mendakwa pendakwaan itu bersifat politik.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk mendapat faedah peribadi dan isteri apabila meluluskan status sekeping tanah kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Tuduhan kedua adalah berkaitan pembelian bawah harga pasaran satu unit banglo daripada ahli perniagaan, Phang Li Khoon, bernilai RM2.8 juta.

Menjawab kritikan terhadapnya, Guan Eng menafikan kediamannya itu rumah mewah dan tidak mempunyai kolam renang.

Kenyataan Mohd Nor yang disiarkan Harakahdaily itu ditujukan kepada bapa Guan Eng, Lim Kit Siang, yang didakwanya mempunyai "ingatan berpilih-pilih sejak berkawan rapat" dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

DAP tak bantah

Mohd Nor juga menyertakan pautan berita Malaysiakini pada Februari 2011 yang menyiarkan laporan mengenai kenyataan Kit Siang berkaitan cabarannya kepada Dr Mahathir dalam isu Operasi Lalang 1987.

Kit Siang adalah seorang daripada ahli politik yang ditahan dalam operasi berkenaan. Dr Mahathir pula adalah perdana menteri Malaysia ketika itu.

Semalam Kit Siang membangkitkan rekod serta prestasi Abdul Hadi yang menjadi menteri besar Terengganu hanya untuk satu penggal saja.

Turut disenaraikan Mohd Nor ialah beberapa kejayaan Abdul Hadi dan PAS Terengganu antara 1999 hingga 2004.

Antara disebut Mohd Nor ialah:

  • Menghapuskan tol yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang
  • Mengagihkan tanah kepada rakyat dengan jumlah lebih 50,000 lot tanpa mengira ideologi, bangsa mahupun agama
  • Menghapuskan judi dan mengurangkan arak yang "semestinya dibenci oleh DAP"
  • Menghapuskan riba dalam pinjaman kerajaan
  • Menguruskan dengan baik kewangan negeri walaupun royalti dirompak
  • Mengurangkan hutang negeri
  • Mengurangkan status negeri termiskin daripada kedua termiskin kepada keempat termiskin
  • Mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Terengganu yang beragama Islam

Mohd Nor juga mendakwa, analisis menunjukkan PAS Terengganu dikalahkan akibat perpindahan sejumlah besar pengundi dan ia "tidak pernah dibantah oleh DAP".

"Tetapi LKS (Kit Siang) mungkin memilih untuk lupa," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS