Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pagi tadi membuat kejutan apabila turut menyertai pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemunggahan sampah sarap.
Dengan mengenakan pakaian dan topi pekerja perkhidmatan am MBI, Zambry hadir kira-kira jam 6.50 pagi sebelum menyertai enam kakitangan MBI menaiki lori sampah dan mengutip sampah sarap di beberapa kawasan di sekitar Buntong, Ipoh.
"Pada jam 6:45 pagi, saya mengejutkan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pekerja dan menyertai mereka mengumpul dan membersihkan sampah di sekitar bandar.
"Saya kongsi semangat mereka untuk memelihara Ipoh sebagai bandar raya bersih," katanya di Twitter.
Zambry juga memaparkan dua keping gambarnya membuang sampah dengan memakai seragam pekerja MBI .
Berita Harian turut menyiarkan gambar Zambry dengan memakai sarung tangan mengangkut beg sampah ke dalam lori sekitar subuh, dan menyapu sampah.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa menteri besar itu juga menaiki lori sampah dengan enam kakitangan lain.
Beliau membantu mereka dalam membersihkan kawasan sekitar 'Little India' dan berakhir di kawasan Pasar Besar Ipoh.
"Perkara ini sebenarnya tidak dirancang dan tidak dimaklumkan lebih awal kepada mereka (kakitangan perkhidmatan am MBI) supaya pekerja itu tidak membuat persiapan awal (menyambut kehadiran beliau).
"Mereka agak terkejut tetapi ia sebagai usaha untuk kita membuktikan bahawa harus bekerja sebagai satu pasukan (dalam memastikan kebersihan) dan pemimpin perlu turun ke bawah (bersama-sama memastikan kebersihan terus dijaga)," katanya yang dipetik akhbar itu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
