GLOBAL l Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uber Technologies Inc, Travis Kalanick telah meninggalkan kumpulan penasihat perniagaan Presiden Donald Trump pada hari Khamis, di tengah-tengah tekanan dari aktivis dan kakitangannya yang menentang dasar imigresen pentadbiran baru.

Pengkritiknya termasuk pemandu Uber, yang ramai daripada mereka merupakan pendatang.

"Menyertai kumpulan itu tidak bermaksud menyokong presiden atau agendanya tetapi malangnya, ia telah disalah tafsir sebegitu," kata Kalanick, yang telah merancang untuk menghadiri mesyuarat kumpulan itu pada hari Jumaat, dalam satu emel kepada kakitangan yang dilihat oleh Reuters.

Jurucakap Uber Chelsea Kohler kemudian mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan kumpulan itu.

kempen media sosial mensasarkan Uber, dengan menggesa pengguna menutup akaun dan memilih saingannya, Lyft Inc.

Uber telah menghantar emel kepada pengguna yang telah menutup akaun mereka untuk mengatakan ia berkongsi kebimbangan mereka dan akan membayar pampasan kepada pemandu yang terjejas dengan larangan itu.

Kalanick berkata, beliau bercakap secara ringkas dengan Trump mengenai perintah imigresen itu "dan isu-isu membabitkan komuniti kita" dan memberitahu presiden beliau tidak akan menyertai majlis ekonomi itu.

CEO itu berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat untuk meninggalkan majlis itu selepas Trump mengeluarkan perintah eksekutif melarang sementara kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam.

"Terdapat banyak cara kita akan terus menyokong perubahan yang adil berkaitan imigresen tetapi untuk kekal dalam majlis itu akan menjadi penghalangnya. Perintah eksekutif itu memudaratkan ramai orang dalam masyarakat di seluruh Amerika," tulisnya dalam satu nota kepada kakitangan.

"Keluarga sedang dipisahkan, orang ramai terkandas di luar negara dan wujud kebimbangan yang Amerika tidak lagi menjadi tempat yang mengalu-alukan pendatang."

Rumah Putih, dalam satu kenyataan pada petang Khamis yang tidak menyebut Uber, berkata Trump "memahami kepentingan dialog terbuka dengan pemimpin rakan perniagaan untuk membincangkan jalan terbaik untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara kita."

Tindakan Travis itu akan memberi tekanan terhadap CEO lain yang dijangka menghadiri pertemuan dengan Trump pada hari Jumaat.

General Motors Co berkata ketua eksekutinya akan hadir, manakala Walt Disney Co berkata ketua eksekutifnya tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri mesyuarat lembaga pengarahnya.

CEO lain yang akan mengambil bahagian termasuk CEO JPMorgan Chase & Co, Blackstone Group LP, IBM Corp dan Wal-Mart Stores Inc. Yang lainnya yang menganggotai majlis itu termasuk CEO Tesla Inc Elon Musk, CEO PepsiCo Inc Indra Nooyi dan CEO Boston Consulting Group Rich Lesser.

Musk berkata beliau akan menghadiri mesyuarat itu.

"Dalam mesyuarat esok, saya dan yang lain-lain akan menyatakan bantahan kami terhadap perintah eksekutif mengenai imigresen dan menawarkan cadangan untuk perubahan dasar itu," katanya dalam tweet pada Khamis.

[Baca berita penuh]

-Reuters