Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Haji umum bonus 4.25% + hibah 1.5% bagi 2016
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 1:02 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan bonus atau hibah kepada pendeposit, merangkumi 4.25 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 1.5 peratus kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata semua ini melibatkan pembayaran sebanyak RM2.88 bilion.

Katanya, bayaran hibah berkenaan secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pendeposit manakala tambahan bonus haji pula akan memanfaatkan 8.5 juta pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

“Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Hibah Tabung Haji 2016 di kaunter Tabung Haji dan ATM bank-bank rakan strategik - Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik, selewat-lewatnya pada Isnin, 6 Februari ini,” katanya.

Untuk rekod, Tabung Haji mengumumkan 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji pada tahun kewangan 2015, berjumlah RM3.24 bilion.

Jamil Khir berkata demikian pada majlis Pengumuman Hibah kepada pendeposit TH 2016, di Kompleks Islam Putrajaya. Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau juga berkata, Tabung Haji akan terus mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 bagi seorang jemaah pada tahun ini walaupun kos sebenar meningkat kepada RM19,550 seorang.

“Subsidi haji tahun ini dijangka meningkat 25 peratus kepada lebih daripada RM200 juta berbanding tahun 2016 (RM160 juta), susulan kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota asal jemaah haji kepada 27,900 orang berbanding 22,320 orang sebelum ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS