Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim berkata, usaha menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas Pulau Batu Puteh harus disokong oleh segenap lapisan masyarakat.

Memandangkan isu kedaulatan negara, kata beliau, ia seharusnya menjangkaui sempadan politik kepartian.

"Pergerakan Pemuda Umno Johor berpandangan bahawa permohonan ini akan membuka ruang dan peluang bagi Pulau Batu Puteh diserahkan semula kepada kerajaan Malaysia.

"Usaha ini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat memandangkan isu kedaulatan menjangkaui sempadan politik kepartian," katanya dalam kenyataan.

Sekitar bulan Mei 2008, ICJ dalam keputusan majoriti 12-4 telah membuat keputusan bahawa Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara dua negara, Malaysia dan Singapura sejak tahun 1980 adalah milik Singapura.

Panel ICJ itu turut membuat keputusan bahawa Batuan Tengah (Middle Rocks) diberi kedaulatan dan menjadi milik Malaysia manakala Tubir Selatan (South Ledge) pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana pulau itu terletak.

Penghakiman bertulis berkenaan dibacakan oleh Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh dan dibuat berasaskan fakta sejarah, perundangan antarabangsa serta kesan-kesan pertindihan mengenai tuntutan itu.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh bermula selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi pulau berkenaan sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Mengulas lanjut, Hahasrin berkata, pihaknya memandang isu Pulau Batu Puteh ini dengan cukup kritikal kerana ianya melibatkan pertikaian wilayah kedaulatan Malaysia yang mengikut sejarahnya dimiliki oleh Kesultanan Johor.

"Perjanjian Inggeris-Belanda 17 Mac dan Perjanjian Crawfurd 2 Ogos 1824 yang dahulunya menyatakan bahawa Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km (10 batu nautika) pulau-pulau serta perairan di sekelilingnya kepada pihak British, penyerahan ini sama sekali tidak termasuk Pulau Batu Puteh.

"Tetapi keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak memihak kepada kita pada tahun 2008, dan kami berharap epilog pertikaian wilayah kedaulatan ini akan berakhir dan memihak kepada Kerajaan Malaysia," jelas beliau.

Tambahnya, perkembangan terbaru itu semestinya memberikan nafas dan harapan baru bukan sahaja kepada rakyat Johor bahkan seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang mengharapkan agar pulau ini dikembalikan semula kepada kerajaan Malaysia.