Semua anggota keselamatan negara di kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu diminta memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu pada pilihan raya kecil Tanjong Datu, 18 Februari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata Jamilah bukan orang yang asing bagi penduduk di Lundu kerana beliau adalah balu kepada tokoh negeri yang dihormati, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Berikanlah kepercayaan kepada beliau untuk meneruskan legasi perjuangan arwah yang ditinggalkan,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa Murni bersama masyarakat setempat di Kampung Temaga Melayu, Sematan, kira-kira 26km dari Lundu semalam.

Beliau percaya Jamilah mampu membawa kemajuan dan kecemerlangan di kawasan Tanjong Datu.

Sementara itu, Mohd Johari berkata rakyat negara ini perlu sentiasa berwaspada terhadap pergolakan yang berlaku di Timur Tengah.

Sehubungan itu, beliau meminta pasukan keselamatan negara sentiasa bersatu untuk menguatkan pertahanan bagi memelihara kedaulatan dan keamanan.

“Keamanan dan kedamaian yang kita kecapi selama ini akan musnah akibat perbalahan dan persengketaan sesama kita. Ketika itu pihak musuh akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh untuk menghancurkan kedaulatan serta kestabilan negara," katanya.

Beliau menegaskan perpaduan yang utuh sahaja mampu menjamin kelangsungan kemakmuran kepada negara dan rakyat.

Timbalan menteri itu turut mengingatkan anggota keselamatan agar menjauhi apa juga anasir subversif seperti kumpulan militan Daesh yang jauh menyimpang daripada perjuangan suci membela agama, bangsa dan negara.

“Jangan sesekali kita mudah terpengaruh dengan dakyah mereka yang sesat itu,” katanya. -Bernama