Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS, Umno: Najib wujudkan persepsi ‘perpaduan ummah’

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa sengaja membentuk persepsi rakyat di negara ini bahawa misi bantuan ‘Food Flotilla For Myanmar’ adalah lambang penyatuan ummah antara PAS-Umno.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu sengaja disebut-sebut oleh Najib bagi membentuk pemikiran rakyat bahawa PAS dan Umno sememangnya bersatu.

“Najib cuba mempolitikkan isu ini untuk bentuk pemikiran orang. Bagi saya, tidak sewajarnya dan saya lihat program macam itu tak perlu perlu mewakilkan parti politik. Ini wakil PAS, ini Umno…

“Saya cukup tidak senang dengan kenyataan Datuk Najib yang cuba suntik pemikiran rakyat inilah lambang perpaduan ummah. Ia tidak harus dilihat perpaduan ummah tapi kemanusiaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Jumaat lalu, Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar dalam kempen yang dikenali sebagai 'Food Flotilla for Myanmar‎'.

Najib berkata, misi bantuan oleh Kelab Putra 1Malaysia bersama NGO‎ dilakukan atas keprihatinan terhadap penderitaan umat Islam khususnya etnik Rohingya di Myanmar.

Najib dalam ucapannya turut menyebut kapal tersebut adalah lambang penyatuan ummah‎ Malaysia kerana disertai oleh wakil PAS dan Umno.

Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PAS dalam acara itu.

Tuan Ibrahim malah mengimamkan solat Jumaat yang disertai Najib.

Khutbah pula dibacakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Masjid Al-Qayyum Bandar Amanda Putra, di situ.

Mengulas lanjut, bekas naib presiden PAS itu berkata, Najib tidak sewajarnya menyebut ‘terdapat wakil PAS atau Umno’ kerana ia adalah misi bantuan kemanusiaan.

“Bagi saya tak harus dipolitikkan isu ini, tapi harus melihat dalam konteks kebajikan dan kemanusiaan. Bukan hanya PAS, Umno bagi saya tapi ada juga orang German pun ada tak tahu PAS atau Umno yang duduk dalam kapal itu.

“Bagi saya tidak harus dilihat antara PAS dan Umno. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pun tidak harus dilihat mewakili PAS atau Umno atau parti politik. Mapim pun dah lama bergerak dalam misi kemanusiaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS