Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau telah mengisytiharkan semua punca perolehan hartanya seperti yang dikehendaki dalam Notis Pendakwa Raya.

Ku, 58, menjelaskan beliau mengisytiharkan punca perolehan hartanya sepanjang 38 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kepada soalan peguamnya Datuk Geethan Ram Vincent mengapa Ku mengisytiharkan semua perolehan hartanya sepanjang 38 tahun sedangkan Notis Pendakwa Raya hanya mengkehendakinya mengisyitiharkan harta untuk tempoh tujuh tahun dari 2006 hingga 2013, Ku berkata "Saya tidak ada apa yang hendak disembunyikan," katanya.

"Saya turunkan (tulis dalam borang) semua harta yang saya perolehi, 38 tahun perkhidmatan saya. Ada yang telah saya beli dan lupuskan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Geethan semasa prosiding membela diri.

Ku yang kini berkhidmat di Bahagian Urusetia JSJ Bukit Aman, merupakan saksi pembelaan tunggal yang dipanggil memberi keterangan hari ini.

Ku menjelaskan beliau telah menyenaraikan semua punca perolehannya dalam borang akuan bersumpah harta alih atau tidak alih, maklumat perjalanan, maklumat perniagaan, punca pendapatan, maklumat perolehan dan maklumat perbelanjaan.

Mengenai perolehan komisen, Ku menjelaskan beliau dari awal, sejak rakaman percakapan kali pertama hingga ketiga direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Dis 2013, 23 Jun 2015 dan 21 Jan 2016, ada memaklumkan mengenai perkara itu.

"Dari awal-awal lagi apabila saya ditanya, saya telah memaklumkan tentang komisen RM30,000 (hasil jualan kondo di Johor Bharu) dan RM800,000 (hasil jualan dua buah hotel di Bukit Bintang), saya telah jelaskan komisen digunakan untuk beli saham.

"Saya telah isytihar semua saham. Saya telah isytihar komisen itu pada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan saya juga telah membayar cukai. Tindakan saya menunjukkan saya tidak berniat untuk sengaja menyembunyikan komisen. Lagipun komisen ini sah di sisi undang-undang. Kenapa harus saya sembunyikan?" katanya.

Ku, 58, didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma Notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Dis 2013, di mana beliau telah gagal untuk mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Jan 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed.

Hakim Sohaini Alias menetapkan 22 Mac untuk hujahan.

- Bernama