Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Nikmatilah hari-hari terakhir sebagai manusia bebas, Lim'
Diterbitkan:  Feb 8, 2017 9:00 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Pemuda PAS hari ini menepis keras dakwaan Kelantan sebagai negeri “gagal dan muflis”, yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Selain berhujah daripada aspek pemilikan rumah, kadar kemiskinan dan hasil negeri, dewan itu turut mengambil kesempatan menyindir Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata 'kegagalan' pemimpin mereka hanya kerana gagal membeli banglo yang dilengkapi dengan kolam renang.

“...ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bankrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam.

“Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan,” katanya sambil menyifatkan kenyataan Lim itu sebagai bahasa “kesat”.

BH Online melaporkan Lim menyifatkan Kelantan sebagai negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, “sebuah parti yang gagal”.

"Di mana mangsa banjir (selepas) tiga tahun masih belum dapat rumah, di mana 100,000 hektar hutan ditebang dan ditarah kerana (kerajaan negeri) tiada sumber wang, " beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadhli juga “mengesyorkan” Lim menikmati “hari-hari terakhir sebagai manusia bebas”.

“Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan,” katanya.

Ia dipercayai merujuk kepada tuduhan berkaitan pembelian bawah banglo bawah harga pasaran yang dibawa ke mahkamah.

Lim juga dituduh menyalah guna kuasa untuk mendapat faedah peribadi dan isteri apabila meluluskan status sekeping tanah kepada sebuah syarikat.

Cabar Guan Eng

Sementara itu, menyentuh langsung kenyataan Lim, Ahmad Fadhli mempertahankan Kelantan dengan membangkitkan isu pemilikan kediaman sebanyak 83.9 peratus atau ketiga tertinggi di Malaysia.

“Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu,” katanya.

Daripada aspek itu, kata Ahmad Fadhli, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, Melayu (28 peratus) dan India (8 peratus).

“Ini bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil,” katanya.

Ahmad Fadhli juga berkata Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8 peratus daripada 2.7 peratus pada 2012 kepada 0.9 peratus pada tahun 2014.

“Pencapaian ‘negeri bankrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun.

“Pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkan memperoleh hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan teriman bukan hasil sebanyak RM149.29 juta.

“Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27 peratus berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta,” katanya.

Lihat Komen
ADS