Hanya 25 dibenar turun Nautical Aliya
Selepas pelayaran 12 hari, kapal misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar hari ini tiba di pelabuhan Chittagong, Bangladesh kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan.
Kapal Nautical Aliya dilaporkan diiringi dua bot pengawal pantai serta kapal tentera laut Bangladesh.
Ketua misi kemanusiaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata setakat ini hanya 25 daripada 182 aktivis yang dibenarkan turun ke darat untuk ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
"Kami akan adakan perbincangan dan rundingan bagi membolehkan semua sukarelawan turun membantu di kem pelarian Rohingya," beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan negara itu kerana membantu menyediakan laluan khas ke pelabuhan.
"Memang pelabuhan ini sibuk dan harapnya semua urusan dipermudahkan," kata Azeez lagi.
Nautical Aliya dilepaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 3 Februari di Pelabuhan Klang.
Kapal itu pada Khamis, 9 Februari lepas menurunkan bantuan di pelabuhan Yangon, Myanmar untuk masyarakat Rohingya sebelum kembali belayar menuju ke Chittagong.
Misi itu dianjurkan Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan disertai 182 sukarelawan pelbagai NGO, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan pengamal media.
Ia turut menyaksikan penyertaan wakil Umno dan PAS – dua musuh tradisi yang akhir-akhir ini semakin lunak dalam kerjasama berkaitan kepentingan Islam.
Masalah Rohingya menjadi isu pertama yang merintis pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu berkongsi pentas, bahkan protes keras terhadap kerajaan Myanmar.
Serah bantuan pada k'jaan Myanmar bukan kesilapan
Sementara itu, Harahdaily pula melaporkan misi itu bukan sekadar mengenai pelayaran dan bantuan makanan, tetapi untuk membuka mata dunia terhadap penderitaan etnik Rohingya.
"Sebahagian mereka kini bertebaran di serata dunia, di Arab Saudi, Bangladesh, Pakistan, Malaysia, Indonesia, sehingga ke UK dan USA. Lari mencari perlindungan, menyelamatkan nyawa dan zuriat keturunan.
"Mereka asalnya adalah rakyat sebuah kerajaan berdaulat, yakni Arakan; sebuah Kerajaan Islam selama lebih 400 tahun,” kata ketua delegasi PAS Muhammad Sanusi Md Nor.
Menyentuh isu yang tular di media sosial kononnya misi itu berurusan dengan pihak tidak sewajarnya, beliau membangkitkan aspek hubungan antarabangsa.
Katanya, semua pihak tertakluk kepada prosedur urusan negara dan tindakan misi itu menyerahkan barangan kepada kerajaan Myanmar bukanlah kesilapan, lapor akhbar web PAS itu.
"Sudah banyak penjelasan diberikan oleh sahabat-sahabat bagi menjawab kritikan netizen dalam isu tersebut. Media Myanmar melaporkan penyerahan dan penerimaan itu.
"Ia adalah langkah membuka pekong Myanmar yang dinafikan selama ini. Dalam menilai isu-isu antarabangsa, kita harus meninggalkan dulu tempurung yang mengurung," beliau dipetik sebagai berkata.

