Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes saman Nik Nazmi ke atas bekas AG dibicara 15 Mei
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 1:04 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 25 Mei dan 13 Jun untuk perbicaraan kes saman Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan berhubung dakwaan salah laku kerana mendakwanya buat kali kedua mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Syahredzan Johan mewakili Nik Nazmi selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, mewakili Abdul Gani dan kerajaan selaku defendan dalam saman itu.

Syahredzan ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 15 Mac untuk pengurusan kes itu.

Pada 31 Mac 2015, Nik Nazmi, menyaman Abdul Gani yang ketika itu Peguam Negara atas dakwaan telah melakukan pendakwaan yang berniat jahat kerana mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei 2014, walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Nazmi mendakwa sebelum ini beliau telah didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei 2013 atas tuduhan menganjurkan perhimpunan program penerangan negeri Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei 2013, mengikut akta sama.

Dakwa Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Selangor itu lagi, pada 6 Mei 2014, mahkamah telah melepaskan tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu atas alasan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman diisytiharkan batal dan tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Nik Nazmi mendakwa tindakan Abdul Gani mendakwanya buat kali kedua bagi pertuduhan sama menyebabkan reputasinya tercemar serta menggambarkan beliau sebagai seorang penjenayah dan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM80,000, ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS