Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imbangan pembayaran M'sia catat lebihan akaun semasa pada 2016
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 4:10 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Imbangan Pembayaran Malaysia merekodkan lebihan pada akaun semasa sebanyak RM25.169 bilion pada 2016 berbanding RM34.658 bilion pada 2015, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Sementara itu, akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih RM4.225 bilion pada 2016 berbanding RM50.851 bilion pada 2015.

Bagi prestasi suku keempat 2016, Imbangan Pembayaran Malaysia mencatatkan lebihan pada akaun semasa sebanyak RM12.2 bilion berbanding RM6 bilion pada suku ketiga tahun yang sama, menurut jabatan itu dalam kenyataan.

Akaun kewangan pula mencatatkan aliran keluar bersih RM13.2 bilion berbanding RM6.3 bilion pada suku ketiga 2016.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat sebanyak RM19.2 bilion berbanding RM14.6 bilion pada suku ketiga 2016, menurut jabatan itu.

Menurut Jabatan Perangkaan, lebihan lebih tinggi pada imbangan akaun semasa bagi suku keempat 2016 disokong terutamanya oleh lebihan akaun barangan sebanyak RM31.4 bilion berbanding lebihan RM26.5 bilion pada suku ketiga 2016.

Selain itu defisit yang lebih rendah pada akaun pendapatan sebanyak RM13.1 bilion berbanding RM15.4 bilion pada tempoh yang sama turut menyokong prestasi lebihan akaun semasa tersebut.

Menurut Jabatan Perangkaan, aliran keluar bersih yang lebih tinggi pada akaun kewangan disebabkan terutamanya oleh aliran keluar bersih yang tinggi pada pelaburan portfolio sebanyak RM22.3 bilion berbanding RM10.6 bilion pada tempoh yang sama.

Bagi aliran pelaburan pula, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) merekodkan aliran keluar bersih RM4.9 bilion berbanding RM3.6 bilion semasa suku ketiga 2016.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih RM10.8 bilion pada suku keempat 2016 berbanding RM6.5 bilion semasa suku ketiga tahun yang sama.

Sementara itu, bagi setahun penuh 2016, akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih RM4.225 bilion pada 2016 berbanding RM50.851 bilion pada 2015.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS