Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isa: FGV tak pernah rugi, cuma untung kadang-kadang tak besar
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 4:30 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjangka mencatatkan perolehan lebih baik tahun ini susulan peningkatan harga minyak sawit mentah serta program tanam semulanya yang mula mengeluarkan hasil, kata Pengerusinya Tan Sri Isa Abdul Samad.

"Kita punya jangkaan tahun 2017 dan 2018 perolehan FGV akan lebih baik. Pertama kerana harga sawit nampak begitu baik, kedua penanaman semula kita yang bermula pada 2012 dan 2013 dengan jumlah 15,000 hektar setahun sudah mula mengeluarkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra di Kampung Stoh, Lundu, dekat Kuching hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perolehan tahunan FGV, Isa berkata, sejak ditubuhkan pada 2012 syarikat itu tidak pernah rugi cuma keuntungannya kadang-kadang tidak besar.

"Ini disebabkan pendapatan kita hampir 80 peratus daripada perladangan dan 20 peratus daripada aktiviti hiliran.

"Jadi perladangan seperti ini kita sedia maklum harga komoditi sentiasa turun naik dan kita juga kadang-kadang menerima bencana alam seperti tahun lalu sedikit banjir, dicampur El Nino yang semuanya meninggalkan kesan kepada pencapaian kita," katanya.

Mengenai prestasi FGV di Sarawak, beliau berkata ketika ini syarikat itu memiliki dua ladang di Sampadi, Lundu dan di Miri, masing-masing dengan keluasan 7,000 hektar dan 12,000 hektar.

Mengulas pertikaian tanah seluas 1,000 hektar yang dituntut kembali oleh masyarakat sekitar di Sampadi, Isa berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Tanah Felda mengenai penyelesaian yang akan diambil.

"Semalam kita telah adakan perbincangan, perbincangan itu akan dibawa ke Lembaga Felda. Kita (FGV) akan terima apa saja keputusan Lembaga Felda yang ditimbulkan untuk selesaikan masalah ini (dengan masyarakat tempatan)," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS