Meskipun berdepan persekitaran ekonomi dunia dan domestik yang mencabar pada tahun lepas, penganalisis berpendapat
pertumbuhan ekonomi negara pada 4.5 peratus pada suku terakhir 2016 sebagai mengagumkan.

"Peningkatan ini lebih cepat daripada apa yang kita jangka bagi suku keempat memandangkan kita menjangkakan pertumbuhan 4.4 peratus daripada 4.3 peratus pada suku ketiga," kata Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin-Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Dalam tempoh tiga bulan, beliau berkata senario ekonomi global
turun naik berikutan ketidaktentuan terhadap dasar Donald Trump
selepas memenangi pilihan raya presiden AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Ini telah menyebabkan pasaran saham turun dengan mata wang jatuh di kebanyakan ekonomi baru muncul, termasuk ringgit.

"Bagaimanapun, kita melihat pemulihan dalam eksport dan perbelanjaan pengguna (berbanding suku ketiga tahun lepas), yang bermakna walaupun semua cabaran ekonomi global, Malaysia seolah-olah mengekalkan daya saing dalam eksport," katanya kepada Bernama.

Nazri berkata demikian sebagai mengulas pengumuman angka Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) negara oleh Bank Negara Malaysia, yang menunjukkan peningkatan perbelanjaan sektor swasta, yang menyokong pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat, membawa kepada pertumbuhan tahun penuh sebanyak 4.2 peratus (tahun 2015: 5.0 peratus).

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi/Strategi Pelaburan IQI Group Holdings Shan Saeed berkata keupayaan Malaysia untuk mencatatkan 4.5 peratus pada suku keempat terbukti kerajaan telah menjalankan tugas yang baik dalam menguruskan ekonomi negara walaupun keadaan sukar sepanjang tahun.

"Meningkatkan produktiviti, mempercepatkan pembaharuan ekonomi serta pelaburan awam dan swasta membantu ekonomi untuk mengurangkan kesan daripada kejatuhan harga minyak mentah, kelemahan ringgit serta sentimen serantau dan global yang lemah.

"Saya rasa Malaysia boleh bertahan dengan keadaan turun naik pasaran kewangan global kerana kerajaan menjadi pengawal ekonomi," katanya.

Selagi KDNK lebih tinggi daripada kadar diskaun, kadar inflasi dan
kadar defisit bajet, Shan berkata ekonomi dijangka terus positif dan asas makro Malaysia masih boleh bertahan dalam jangka masa panjang.

"Sebagai contoh, jika anda melihat Eropah, mereka menyokong ekonomi politik. Jadi, apabila politik terlibat, ia tidak mewujudkan sebarang keyakinan, ekonomi akan kekal goyah," katanya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi, Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng berkata trajektori pertumbuhan perlahan daripada 6.0 peratus pada 2014 kepada 5.0 peratus pada 2015 kekal menjadi kebimbangan.

Beliau mencadangkan tentang keperluan untuk mempercepatkan pembaharuan ekonomi dan langkah-langkah dasar melaksanakan untuk meningkatkan produktiviti, peningkatan industri dan iklim perniagaan.

"Bagi tahun ini, kami menjangkakan momentum pertumbuhan domestik yang sederhana berpunca daripada hutang isi rumah yang tinggi, pengurangan ruang fiskal dan peningkatan kadar pengangguran yang diimbangi oleh harga komoditi yang lebih kukuh dan permintaan eksport.

"Ditambah pula dengan sedikit peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan dan pelaburan infrastruktur berskala yang berterusan, ekonomi dijangka menokok pada 4.4 peratus tahun ini," katanya.

Mengenai ringgit, ia dijangka diniagakan dalam keadaan tidak menentu terutama berbanding dolar AS, memandangkan unjuran kenaikan kadar faedah semasa pengukuhan pertumbuhan ekonomi dan inflasi AS, kata Yeah.

"Walaupun di bawah nilai pada kadar semasa, kelemahan ringgit berlanjutan berkemungkinan jangka pendek kerana kekuatan mata wang disokong oleh peningkatan yang dijangka dalam pertumbuhan pengeluaran domestik, trend menaik dalam eksport dan rizab luar negara yang mencukupi.

Faktor-faktor sokongan lain termasuk mudah tunai yang banyak serta sistem perbankan dan pasaran modal yang teguh, katanya. -Bernama