Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiada sebab Malaysia mahu burukkan Korea Utara - Najib

Perdana Menteri Datuk Najib Razak berkata tidak ada sebab untuk Malaysia memburukkan Korea Utara berhubung siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri Presiden Kim Jong-un di negara ini, minggu lalu.

Malah, katanya, siasatan terhadap kes pembunuhan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) itu dilakukan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Polis dan doktor kita sangat-sangat profesional, kita sangat yakin yang mereka (doktor dan polis) mempunyai objektif dalam apa yang mereka lakukan.

“Kita tidak ada sebab untuk melakukan sesuatu yang memberikan kesan buruk kepada Korea Utara.

“Tapi kita ada objektif dan kita harap mereka (Korea Utara) faham yang kita melakukan (penyiasatan) mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di Bangunan IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Najib ditanya mengenai sidang media oleh Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol yang meluahkan rasa tidak yakin Pyongyang ke atas siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis negara ini berhubung kematian Jong-nam.

Malah duta itu juga menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan untuk membantu mengalihkan perhatian berhubung krisis berterusan yang sedang menyelubungi kepimpinan Korea Selatan.

Pada sidang media hari ini Kang berkata, sudah tujuh hari berlaku kejadian itu namun tidak ada bukti jelas mengenai punca kematian Jong-nam dan ini menyebabkan Pyongyang tidak mempercayai siasatan polis.

"Ini hanya menimbulkan keraguan bahawa mungkin ada tangan lain di sebalik siasatan itu," kata Kang.

Beliau juga mendakwa siasatan pihak polis negara ini adalah untuk mencapai matlamat politik tertentu.

Selain itu Kang turut mendakwa polis negara ini mengancam anggota keluarga seorang rakyatnya dan memukul anaknya ketika menyerbu sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Kang pada sidang medianya hari ini turut membacakan kenyataan lima halamannya, yang antaranya menyebut:

“Malam Jumaat lalu, polis Malaysia berpakaian biasa menyerbu sebuah kondominium rakyat kami di Kuala Lumpur dan tanpa sebarang waran atau bukti secara paksa menahan serta mengumumkan mereka menahan perancang (kes Jong-nam) sebelum sebarang siasatan bermula.

“Mereka malah mengacukan pistol pada anggota keluarga dan mengancam nyawa mereka dan memukul anak remajanya di muka.

“Ini adalah pelanggaran hak asasi manusia yang hanya boleh dilihat dalam filem mafia Amerika Syarikat,” katanya.

Kenyataan keras itu dibuat selepas Wisma Putra mendedahkan mereka memanggil Kang Chol menjelaskan kenyataannya yang kelihatan menggambarkan Malaysia menyembunyikan sesuatu.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS