Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'En Somi' nafi nak beli lori, kapal terbang
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 4:41 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairudin Aman Razali berkata kenyataannya mengenai pembelian lori atau kapal terbang dikelirukan.

Membuat penjelasan mengenainya, anggota parlimen Kuala Nerus itu berkata, kata-kata itu dibuat secara umum dan tidak merujuk kepada dirinya sehingga kelihatan angkuh.

Mendakwa kenyataan disalah tafsir itu bakal mengundang fitnah ke atasnya, Khairuddin berkata setiap orang - sama ada kaya atau miskin - berhak memiliki apa saja kenderaan yang dimahu dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing, sama ada basikal, motosikal, kereta, lori atau kapal terbang.

"Saya tidak membuat kenyataan lain daripada itu. Mana-mana media yang melaporkan sebaliknya boleh diambil tindakan undang-undang," katanya disiar media rasmi PAS, Harakahdaily, hari ini.

Selasa lalu pengguna media sosial membangkitkan kewajaran Khairuddin yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menghadiahkan kereta mewah Audi Q7 kepada isterinya.

Hadiah itu diketahui ramai apabila isterinya Datin Norhayati Abd Malek, memuat naik gambar kereta serta mengemas kini statusnya di Facebook.

"Kti (Kak Ti) dapat hadiah kereta dari En Somi," katanya di media sosial itu.

Ia mengundang kecaman dan sindiran daripada banyak pihak.

Khairuddin kemudian menjelaskan beliau berhak membeli apa yang dimahukannya.

The Star Online yang menyiarkan kenyataan itu juga memetik beliau sebagai berkata: "Saya boleh beli lori atau kapal terbang, ini bukan urusan mereka.”

Menurut Khairuddin, apa yang disampaikan kepada wartawan The Star itu adalah kenyataan secara umum saja.

Beliau juga mendakwa sudah menghubungi wartawan terbabit supaya kenyataan itu dibetulkan.

Katanya, hanya golongan sosialis yang mempertikaikan pemilikan harta manusia dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing.

Sementara itu Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor, Muhammad Najhan Abd Halim, berkata dalam Islam seorang pemimpin boleh memiliki kenderaan yang baik jika berkemampuan.

Apatah lagi, katanya, jika kemampuan itu datang daripada hasil perniagaan sendiri setelah tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas rakyat ditunaikan.

"Tambahnya (pula) jika kenderaan yang baik digunakan ke sana sini bersama keluarga dan anak-anak kecil yang ramai berulang alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu dan pelbagai lokasi ceramah menjangkau ribuan kilometer sebulan.

"Memiliki kenderaan yang baik adalah sunat dalam Islam sebagaimana sabit dalam hadis," ujar beliau lagi.

Lihat Komen
ADS