BERITA Malaysiakini

ABIM gesa putuskan hubungan diplomatik KL-Pyongyang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menggesa kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Korea Utara, kata presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Kata beliau, gesaan ini dibuat rentetan kenyataan keterlaluan yang dikeluarkan oleh duta negara tersebut ke Malaysia, Kang Chol.

"Kenyataan beliau yang mempertikaikan gerak kerja siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong Nam serta mengaitkannya dengan agenda pihak asing secara langsung tidak menghormati sensitiviti dan kedaulatan negara.

"Umum mengetahui bahawa Korea Utara ialah negara ekstremis yang sering mencetuskan provokasi keterlaluan yang menjejaskan kestabilan politik antarabangsa.

"Tambahan pula Korea Utara mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk dan tidak selari dengan aspirasi sejagat (perkembangan demokrasi serta kesedaran hak asasi manusia)," jelasnya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pemuda Umno, Barisan Nasional (BN) serta beberapa NGO belia seluruh negara menggesa kerajaan supaya membatalkan perjanjian bebas visa serta mempertimbangkan semula hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, gesaan itu dibuat ekoran tuduhan Kang menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan untuk membantu mengalihkan perhatian berhubung krisis berterusan yang menyelubungi kepimpinan Korea Selatan.

“Malaysia sebuah negara yang berdaulat, kami tidak akan bertolak ansur dengan dengan mana-mana perbuatan pencerobohan, tidak menghormati institusi, kepimpinan dan rakyat negara ini.

“Kita gesa supaya kerajaan Malaysia membatalkan perjanjian bebas visa dengan Korea Utara. Kita juga gesa supaya kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

“Permintaan ini kerana menunjukkan kemarahan dan rasa tidak puas hati apabila undang-undang Malaysia dipersoalkan oleh negara asing,” kata Khairul Azwan.

Mengulas lanjut, Mohamad Raimi berkata, reputasi tersebut mewajarkan hubungan diplomatik ini dikaji semula.

"Tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dinilai tidak akan meninggalkan apa-apa kerugian kepada negara baik dari segi aspek ekonomi mahupun politik," katanya.

ABIM berpandangan tindakan memutuskan hubungan diplomatik ini secara tidak langsung menandakan komitmen negara menjunjung amalan demokrasi serta hak asasi manusia yang kini merupakan aspirasi sejagat, ujarnya.