Terjemahan Kematian 38 tahanan dalam lokap polis di antara tahun 2000 dan 2003, majoritinya kerana penyakit dan tiada kaitan dengan pihak polis, demikian menurut Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dalam buku laporan tahunan Suhakam 2004.

Menurut laporan Suhakam itu, kementerian berkenaan menjelaskan bahawa 29 daripada tahanan terbabit meninggal dunia kerana kerana penyakit.

Empat lagi kematian kerana bunuh diri, tiga kematian semasa melarikan diri dan dua lagi kematian akibat pergaduhan sesama tahanan.

Suhakam telah meminta penjelasan kementerian berkenaan selepas menerima aduan dari badan bukan kerajaan serta keluarga mereka yang terbabit yang mendakwa tahanan menjadi mangsa penganiayaan polis dan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia.

Laporan itu juga mengandungi butir-butir aduan terhadap pasukan polis tahun lalu (lihat carta) termasuk kematian Francis G Udayappan yang hilang ketika ditahan di Balai Polis Bricksfields untuk disoal siasat berhubung kes kecurian.

'Patuhi peraturan'

Dalam jawapannya kepada Suhakam, kementerian berkenaan secara khusus menafikan semua dakwaan tahanan ISA di di Pusat Tahanan Kamunting di Taiping Perak.

Mereka mendakwa, antara lain, tidak dibenarkan melakukan aktiviti rekreasi dan senaman; tidak dibenarkan menemui peguam atau keluarga mereka; lambat mendapat rawatan; dan polis menyimpan kad ATM dan buku bank mereka.

Kementerian berkenaan, pada umumnya berkata, tidak wujud sebarang ancaman atau halangan di kem Kamunting dan keadaan kem tersebut mengikut peraturan bagi menjamin keselamatan, pemulihan dan kawalan ke atas tahanannya.

Menurut kementerian itu lagi, kem-kem tahanan dilengkapkan sepenuhnya dengan kemudahan rekreasi yang boleh digunakan oleh tahanan.

Di samping itu, katanya, keutamaan diberikan kepada kesihatan tahanan dan rawatan perubatan diberikan kepada mereka yang memerlukannya di mana pembantu kesihatan akan menentukan sama ada seseorang tahanan itu memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Tahanan terbabit akan dirujukkan kepada pakar atas nasihat hospital kerana pihak kem tidak dibenarkan merujuk mana-mana tahanan untuk menjalani rawatan tanpa perakuan pihak hospital terlebih dahulu.

Menurut kementerian itu lagi, peguam dibenarkan berjumpa tahanan tetapi mereka mesti menulis kepada pihak kem lebih awal bagi menetapkan tarikh dan masa pertemuan hendak diadakan.

Bagaimanapun, katanya, tahanan dan peguamnya perlu menjalani pemeriksaan keselamatan dan menegaskan ia tidak seharusnya dianggap sebagai satu tindakan 'sengaja menghalang' perjumpaan mereka.

Mengenai aduan yang pihak polis menyimpan kad ATM dan buku bank tahanan, kementerian berkata, pihak berkuasa kem hendaklah menulis kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Tambahnya, anggota keluarga dibenarkan menemui tahanan selama 30 minit sekali seminggu. Dalam kes-kes mustahak, pertemuan dibenarkan lebih daripada sekali seminggu.