HARAPAN depani PRU14 dengan 3 tawaran baru
Pakatan Harapan (HARAPAN) menawarkan permulaan baru kepada rakyat negara ini jika menang pada pilihan raya umum akan datang dengan menyenaraikan tiga tawaran baru.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin dari
Parti Amanah Negara (AMANAH), Rafizi Ramli (PKR) dan Tony Pua (DAP), dengan tiga tawaran itu, HARAPAN mahu membendung amalan rasuah yang kian berleluasa di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Pertama ialah memastikan tiada campur tangan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara.
"Yang kedua pula melantik seseorang yang berwibawa untuk menjadi peguam negara yang diberi kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan.
"Manakala yang ketiga memastikan kebebasan media, termasuk agensi-agensi berita dan penyiaran berita milik rakyat yang dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama," kata mereka.
Justeru, HARAPAN menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan agar segera mendaftar dan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang, katanya.
Sebelum ini, HARAPAN turut dilaporkan memberi jaminan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jika menang pilihan raya umum akan datang.
UEC merupakan akronim kepada Unified Examinations Certificate (UEC) — sejenis peperiksaan yang dikendalikan oleh Dong Jiao Zong, atau Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia dalam mengakreditasi pelajar-pelajar mereka di negara ini.
Ia mula dilaksanakan sejak 1975 dan diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi di England, Amerika Syarikat, Australia, China dan Taiwan.
Bagaimanapun kecuali universiti swasta, universiti-universiti awam di Malaysia tidak mengiktiraf dan menerima pakai sijil ini.
Mengulas lanjut, HARAPAN berkata, dengan munculnya beberapa skandal-skandal besar sejak kebelakangan ini, ia membuktikan budaya korupsi yang diamalkan oleh kerajaan Umno dan BN semakin membarah.
"Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh kerajaan Umno BN semakin membarah.
"Kos rasuah terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai mata wang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan kos sara hidup," jelas mereka.

