Kenapa Rahman Dahlan tak mahu jawab, tanya DAP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan masih belum menjelaskan jika beliau dipengaruhi oleh mana-mana orang berprofil tinggi untuk memberikan lanjutan masa kepada pemaju pada tahun 2015 untuk menyiapkan projek-projek ditangguhkan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, Abdul Rahman yang ketika itu menjadi menteri kesejahteraan Bandar, perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) tidak harus mengelak daripada menjawab soalan itu.
Dengan tidak menjawab soalan berkenaan membuatkan Ramasamy berasa ada 'kemungkinan penyalahgunaan kuasa' dalam keputusan Abdul Rahman untuk memberikan pemaju - BHL Construction Sdn Bhd - lanjutan 12 bulan untuk menyiapkan projek kondominium yang tertangguh.
"Jelas beliau memesongkan isu itu, soalan saya sama ada kementerian mempunyai kuasa untuk memberikan lanjutan tersebut," kata Ramasamy kepada Malaysiakini apabila diminta mengulas komen Abdul Rahman mengenai isu itu.
"Soalan saya, sama ada terdapat individu berprofil tinggi - pengarah BHL - menulis surat kepada menteri untuk meminta lanjutan.
"Beliau tidak menyentuh mengenai isu ini. Macam mana boleh jadi begini? Inilah sebabnya mengapa saya merasakan terdapat kemungkinan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Semalam, Abdul Rahman menafikan penyalahgunaan kuasa dalam pemberian lanjutan masa (EOT) bagi pembinaan projek kondominium oleh BHL Group of Companies.
"Dalam kes tertentu yang dirujuk oleh DAP, tidak ada salah guna kuasa ketika saya adalah menteri KPKT.
"Keputusan saya ambil adalah berdasarkan kuasa yang jelas diberikan kepada menteri KPKT seperti yang dinyatakan di bawah Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966,” katanya lagi.

