Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AWAS, Kejara dilaksana mulai 1 April, kata Aziz Kaprawi
Diterbitkan:  Mar 4, 2017 3:31 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) akan dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata melalui pelaksanaan gabungan AWAS dan KEJARA itu, pengguna jalan raya diharapkan akan lebih berhemat dalam pemanduan sekali gus mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

"Kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan penguatkuasaan dan undang-undang jalan raya memandangkan kemalangan maut di Malaysia semakin meningkat.

"Tahun lepas sahaja, angka kemalangan terutamanya kemalangan maut yang kita harapkan menurun, meningkat sehingga 10 peratus," kata beliau kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Fiesta Rakyat Sri Gading sempena Program Jalinan Mesra Kementerian Pengangkutan 2017 di Dataran Kompleks Niaga Parit Raja.

Dengan pelaksanaan gabungan dua sistem berkenaan, Ab Aziz berkata ia sekali gus menunjukkan kerajaan sangat serius dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut.

Pesalah yang melanggar undang-undang lalu lintas kali pertama akan dipotong mata demerit serta diberi amaran manakala kesalahan kedua akan disaman dan sekiranya masih lagi melakukan kesalahan, lesen memandu mereka akan digantung.

Selain itu, apabila dua sistem itu diselaraskan, pesalah trafik yang gagal membayar saman akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu secara automatik.

Pelaksanaan kedua-dua sistem itu juga akan turut memberi tumpuan terhadap kesalahan lalu lintas melanggar lampu isyarat serta memandu melebihi had laju dibenarkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS