Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Sulaiman, bahawa harga siling minyak akan diumumkan pada setiap minggu bakal menambah beban hidup rakyat yang sudah terseksa dengan kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), salah urus tadbir negara, korupsi dan penyelewengan.

Kerajaan BN menjadikan rakyat sebagai mangsa kepincangan tatakelola pentadbiran negara. Kerajaan hari ini tiada cara lain untuk menampung keperluan kantung negara selain daripada menghisap wang rakyat.

Melalui dasar terbaru itu kerajaan akan memperolehi keuntungan yang lebih kerana harga minyak berubah pada setiap minggu berbanding bulanan seperti yang dilaksanakan selama ini.

Penetapan harga siling minyak secara mingguan ini pasti akan menjejaskan bajet rakyat yang kini masih terawang-awang mengenai pelaksanaan dasar yang menyebabkan harga minyak boleh berubah setiap minggu.

Kesenjangan pendapatan dan perbelanjaan akan berlaku kerana rakyat negara ini dibayar gaji secara bulanan. Justeru sukar bagi mereka membuat anggaran perbelanjaan kerana harga minyak akan berubah setiap minggu.

Selain seperti mencurah garam ke atas luka rakyat, perubahan harga minyak umpama kepingan domino yang memberi kesan kepada harga barangan lain.

Pada masa sama, agak mustahil peniaga sektor menurunkan harga barangan jika harga minyak turun pada minggu tertentu.

Kesannya, rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga barangan.

Justeru, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak kerajaan memberikan baucer bulanan khas kepada golongan B40 dan M40 bagi membantu mereka jika harga minyak naik melepasi harga tertentu.

Syarat kelayakan bagi penerima baucer ini pula boleh ditetapkan kerajaan.

Pemuda AMANAH juga mendesak kerajaan supaya mendedahkan dengan telus mekanisme pengiraan harga minyak, serta jumlah "cukai minyak" yang diambil oleh mereka daripada rakyat sejak pemansuhan subsidi sebelum ini.

Kerajaan BN tidak seharusnya berlepas tangan begitu saja dengan menyalahkan kenaikan harga minyak mentah sebagai alasan penetapan harga minyak secara mingguan.

Maka, Pemuda AMANAH mengulangi gesaan agar kerajaan mengembalikan subsidi minyak agar bebanan rakyat dapat dikurangkan.


FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua pemuda AMANAH. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS