ADUN Sri Tanjong, Chan Foong Hin menempelak kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai Lebuhraya Pan Borneo yang bakal menjadi 'lebuh raya bertaraf dunia'.
Ini kerana, kata wakil rakyat DAP itu, jalan-jalan raya di negeri tersebut bahkan tidak sepadan dengan piawaian Semenanjung Malaysia.
"Jalan raya di Sabah tidak pun setanding dengan standard Semenanjung, mengapa kita perlu bercakap tentang standard bertaraf dunia," kata Chan dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada pengumuman Najib semalam ketika melancarkan projek berkenaan di Sindumin semasa lawatan beliau ke Sabah, baru-baru ini.
Semalam, Najib membidas bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun kerana hanya membina lebuh raya di Semenanjung sahaja.
Bidasan tersebut dipercayai ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Orang Sabah pun mahu merasa lebuh raya. Betul tidak? Tak kan orang Semenanjung sahaja merasa lebuh raya.
"Dan, hakikatnya, hari ini adalah sejarah bagi negeri Sabah kerana kilometer pertama Lebuhraya Pan Borneo untuk negeri ini bermula dari Sindumin," katanya.
Kata Najib lagi, beliau memberi jaminan jaringan Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol di Sabah itu akan setanding dengan lebuhraya negara maju apabila ia siap kelak.
Menurutnya, perkara itu akan dipastikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meletakkan standard tinggi.
"Ini bukan jalan balak atau jalan kampung. Ini adalah lebuh raya berkelas dunia. Ini adalah komitmen saya sebagai perdana menteri, Lebuhraya Pan Borneo ini adalah hadiah kerajaan kepada rakyat Sabah," jelasnya.
Mengulas lanjut, Chan berkata, kualiti jalan raya di Sabah adalah sub standard berbanding dengan Semenanjung, berdasarkan berat yang boleh mengambil jalan raya.
"Sebagai contoh, berat dalam muatan (BDM) dibenarkan di Sabah adalah sangat berbeza daripada Semenanjung.
"Maksima BDM yang dibenarkan di Semenanjung adalah 53,000 kilogram dan manakala bagi Sabah ia adalah terhad kepada 38,000 kilogram, tanpa mengira bilangan konfigurasi gandar.
"Mengapa perbezaan BDM antara Sabah dan Semenanjung? Semata-mata kerana kapasiti jambatan dan jalan raya di sini adalah lebih rendah daripada Semenanjung, yang menunjukkan kualiti jalan raya dan jambatan di sini tidak begitu baik berbanding sana," katanya.
