Ahli Parlimen Batu Kawan dari DAP, Kasthuri Patto meminta Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay berhenti dari 'membuat kacau' di Pulau Pinang dengan membuat tuduhan tidak berasas.

Terbaru, kata beliau yang juga setiausaha publisiti untuk Wanita DAP, Kohilan menuduh kerajaan negeri memperuntukkan tanah kerajaan untuk tujuan membina tempat-tempat beribadat bukan Islam.

"Kohilan tersasar jauh apabila mengatakan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mendapat sokongan dan tidak ikhlas selepas pengumuman memperuntukkan tanah-tanah untuk membina gereja dan kuil.

"Dakwaan tidak berasas oleh Kohilan ini hanya menunjukkan beliau memancing pujian dari kalangan rakan-rakan parti dan BN dengan membuat kritikan tidak berasas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan.

Kasturi turut bertanya, apakah dengan mengkritik kerajaan negeri itu, Kohilan mahu tempat-tempat beribadat bukan Islam terus beroperasi di bawah pokok atau rumah kedai.

"Mungkin Kohilan harus melihat keluasan tanah yang diperuntukkan oleh Gerakan dalam tempoh 39 tahun memerintah Pulau Pinang dengan 'kedaifan' tempat-tempat beribadat bagi golongan bukan Islam.

"Banyak yang beribadat secara tidak terkawal, beroperasi secara haram dan dari lot kedai ekoran tidak ada usaha konkrit oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber tanah yang diperuntukkan untuk membina tempat-tempat beribadat bukan Islam," jelasnya.

Katanya, rakyat Pulau Pinang terutamanya masyarakat bukan Islam telah menderita selama 39 tahun di bawah Gerakan kerana tidak diperuntukkan tanah oleh kerajaan negeri bagi membina rumah ibadat di atas tanah kerajaan negeri.