Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MyPPP kenalpasti kerusi Parlimen, DUN untuk PRU14
Diterbitkan:  Mar 5, 2017 7:32 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) telah mengenal pasti beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan datang.

Presidennya Tan Sri M. Kayveas berkata selain Cameron Highlands, kerusi lain termasuk DUN Buntong di Perak; Kota Alam Shah dan Kepong (Selangor); Guchil (Kelantan) serta Kota Laksamana (Melaka).

"Kami telah pun mengenal pasti kerusi berkenaan dan amat positif dapat menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14," katanya.

Kayveas yang juga Penasihat Khas kepada Menteri Pengangkutan bercakap kepada Bernama selepas merasmikan Program 'Knowledge and Skills Bazaar' serta pelancaran Program 'Empowerment For Tamil Schools In Cameron Highlands' di Tanah Rata, hari ini.

Kayveas berkata sehingga kini anggota MyPPP mencecah hampir 700,000 orang di seluruh negara dan kesemua anggota merupakan pengundi berdaftar.

"Kita menyasarkan jumlah keahlian akan meningkat sehingga 1 juta orang dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kayveas berkata beliau bersedia menawarkan diri untuk bertanding di kawasan Parlimen Cameron Highlands pada PRU14.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk memutuskan sama ada parti komponen itu akan diberi peluang bertanding di kawasan berkenaan yang kini disandang oleh bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

"Berdasarkan sokongan yang diterima dan bagi memastikan BN kekal menang pada pilihan raya umum akan datang, saya bersedia untuk bertanding di Cameron Highlands, namun keputusan muktamad terletak sepenuhnya pada pucuk pimpinan BN," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS