Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan hari ini mengheret Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke mahkamah kerana merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Beliau memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dilindungi oleh peruntukan kebebasan bersuara dalam Perkara 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita telah failkan saman pemula bagi bertujuan dapatkan pengisytiharan dari mahkamah bahawa ucapan anak guam saya dapat perlindungan di bawah Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita mohon satu penentuan dari pihak mahkamah supaya kita dapat tahu sama ada anak guam saya ada melanggar atau tidak mana-mana peraturan tetap DUN Selangor" kata peguamnya Datuk Kamaruddin Ahmad.

Mat Nadzari pada sidang DUN November lalu dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.