Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat wakil BEBAS berhubung himpunan bantah Akta 355
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 8:53 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Jurucakap BEBAS Azrul Mohd Khalib disoal oleh polis hari ini berhubung himpunan balas bagi menentang cadangan PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Azrul berkata, polis mahu tahu siapa penganjur lain himpunan itu dan sama ada mereka mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

"(Saya beritahu mereka) kita memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum perhimpunan balas itu. Kami juga memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)," katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata polis menghabiskan kira-kira 40 minit bagi merakam kenyataan beliau dan menyiasat perkara itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

BEBAS mengadakan perhimpunan di Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya pada hari sama perhimpunan PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

Hak untuk berhimpun 

Azrul berkata kedua-dua penganjur mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan.

"Saya harap tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap saya atau BEBAS kerana ini akan melanggar hak demokrasi kita," katanya.

Tahun lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Perkara itu dijangka dibahaskan semasa persidangan Dewan Rakyat.

BEBAS mengadakan perhimpunan balas atas alasan terdapat kajian membuktikan bahawa hukuman lebih berat tidak dapat mencegah atau mengurangkan kesalahan Syariah di negara-negara majoriti Islam yang sudah melaksanakan undang-undang yang sama.

Mereka juga berkata cadangan pindaan itu tidak mendapat maklum balas mencukupi daripada orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS