K’jaan pohon batal saman Pua berkaitan 1MDB

       

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ke atasnya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung misfeasans dalam pentadbiran awam berkaitan 1MDB.

Peguam Pua Joanne Chua ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, berkata, kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac lalu.

Bulan lalu, Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pua.

Berikutan ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O'Hara menetapkan 22 Mei untuk mendengar kedua-dua permohonan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Najib dan kerajaan mendakwa Pua tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memulakan saman itu dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi ganti rugi yang dituntut.

Dalam samannya itu, Pua yang juga setiausaha publisiti DAP menuntut pengisytiharan defendan telah melakukan kesalahan misfeasans dalam pentadbiran awam.

Pua juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah menyalah guna kedudukannya terhadap dana 1MDB untuk kepentingan peribadi.

Pua menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan dinilai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan salah laku membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom yang mewakili kerajaan selaku defendan kedua dalam kes saman itu memohon untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac lalu atas alasan Pua tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

"Tuntutan saman plaintif (Pua) juga tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan saman itu juga suatu yang remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara hari ini.

Sementara itu, peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Datuk Seri Najib Razak selaku defendan pertama dalam saman berkenaan berkata mahkamah menetapkan 22 Mei untuk mendengar permohonan perdana menteri dan kerajaan bagi membatalkan saman Pua.

Najib memohon untuk membatalkan saman itu pada 14 Feb lalu atas alasan bahawa beliau bukan penjawat awam seperti didakwa Pua dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya.

Turut hadir dalam prosiding itu peguam Joanne Chua mewakili Pua.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Jan lalu atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan, membabitkan dana 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda