'Siapa patut bertindak ke atas penyerang Khalid Samad?'
Parlimen masih belum bertindak berhubung serangan ke atas Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) di perkarangannya November lalu - kerana ketidakpastian sama ada Parlimen atau polis yang perlu mengambil tindakan.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata sebuah jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk membincangkan perkara itu menimbulkan kebimbangan sama ada akan berlaku sebarang implikasi jika kedua-dua institusi bertindak ke atas kes sama.
Oleh itu, Pandikar berkata, jawatankuasa itu sedang memikirkan perkara berkenaan.
"Pendapat peribadi saya, biarlah Parlimen bertindak. Tidak perlu untuk kita melibatkan pihak luar seperti polis," katanya.
Undang-undang mensyaratkan bahawa polis perlu mendapatkan kebenaran daripada speaker sebelum memasuki kawasan Parlimen, termasuk untuk menjalankan siasatan.
Parlimen juga diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan dalam perkarangannya.
Pada 24 November lalu, Khalid diserbu sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, Perak.
Ia berikutan pertikaman lidah membabitkan perkataan "sial" antara Khalid dengan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selepas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu melabelkan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.
Tajuddin juga adalah ketua bahagian Umno Pasir Salak.
Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan.
Seorang daripada mereka ialah anak Tajuddin sendiri.
Selepas penjelasan Pandikar hari ini, Khalid memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau percaya polis perlu bertindak terhadap penyerangnya, kerana mereka bukannya ahli parlimen.
Ini, kata Khalid, adalah kerana polis bantuan Parlimen turut cedera dalam serangan itu.

