Mustapa mahu 11 rakyat Malaysia di Korea Utara diberi layanan baik
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mahukan 11 rakyat Malaysia yang dilarang meninggalkan Korea Utara diberi layanan baik sejajar dengan undang-undang antarabangsa.
"Kita memang menjangka perkara ini akan berlaku dan ini bukan satu perkara yang mengejutkan dan kita harap jika ada yang terperangkap, mereka akan diberi layanan yang baik sejajar dengan undang-undang antarabangsa.
"Bagaimanapun kita menyerahkan hal ini kepada Wisma Putra untuk urusan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bangunan baharu kilang ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengakalan Chepa II di Kota Bharu, hari ini.
Kerajaan hari ini mengambil tindakan menghalang rakyat Korea Utara daripada meninggalkan Malaysia berikutan tindakan negara itu melarang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.
Sebelum ini, Kuala Lumpur mengusir duta Korea Utara dari Malaysia dan Pyongyang mengambil tindakan yang sama terhadap duta Malaysia di sana.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan berkata 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka di Korea Utara berada dalam keadaan selamat.
- Bernama

