Polis gagalkan rancangan IS serang Raja Saudi
Polis berjaya menggagalkan rancangan militan IS yang mahu melancarkan serangan ke atas rombongan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud yang dalam lawatan rasmi ke negara ini minggu lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tujuh suspek itu ditahan di antara 21 dan 26 Februari oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.
"Tetapi Alhamdulillah, kita sempat menangkap mereka,” kata Khalid pada sidang akhbar di Pulau Pinang, hari ini.
Ditanya bagaimana polis menangkap militan itu, Khalid berkata "mana boleh kita dedahkan kepada kamu?"
Beliau juga memberitahu bahawa suspek berkenaan terlibat dalam memalsukan dokumen perjalanan dan berurusan dalam pengedaran dadah.
Raja Salman dan rombongan mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia bermula 26 Februari lalu.
Khalid berada di Pulau Pinang hari ini sempena Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa (IDEC)-Rantau Timur yang dirasmikannya.
Diminta untuk mengulas lanjut, Khalid berkata bahawa daripada tujuh suspek itu, empat daripada mereka adalah warga Yaman, dua warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia.
Empat suspek Yaman itu ditahan di Cyberjaya minggu lalu berikutan serbuan memerangi keganasan.
Manakala warga Yaman itu terdiri daripada seorang tukang masak, seorang pelajar universiti swasta dan dua orang yang menganggur.

